Lompat ke kandungan

Patutkah Saya Berdoa kepada Santo-Santo?

Patutkah Saya Berdoa kepada Santo-Santo?

 Jawapan Bible

 Tidak. Bible menunjukkan bahawa kita hanya patut berdoa kepada Tuhan, melalui nama Yesus. Yesus memberitahu para pengikutnya, ‘Sepatutnya kamu berdoa begini, “Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Tuhan yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati.”’ (Matius 6:9, Alkitab Berita Baik) Dia tidak pernah mengajar para pengikutnya untuk berdoa kepada para santo, malaikat, atau peribadi lain selain daripada Tuhan.

 Yesus memberitahu para pengikutnya, ‘Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.’ (Yohanes 14:6, ABB) Hanya Yesus yang dipilih oleh Tuhan untuk menjadi perantara antara Tuhan dengan manusia.—Ibrani 7:25.

Bagaimana jika saya berdoa kepada Tuhan dan juga kepada santo-santo?

 Semasa memberikan Sepuluh Hukum, Tuhan berkata, ‘Aku, Tuhanmu, Tuhan yang cemburu.’ (Keluaran 20:5, Alkitab Versi Borneo) Apakah maksud ungkapan ‘Tuhan yang cemburu’? Nota kaki dalam Alkitab New American Bible menyatakan bahawa Tuhan “menuntut pengabdian yang eksklusif.” Tuhan menghendaki kita menyembah-Nya sahaja, termasuk berdoa kepada-Nya sahaja.—Yesaya 48:11.

 Jika kita berdoa kepada individu lain, termasuk kepada santo-santo atau para malaikat, kita sedang menyakiti hati Tuhan. Semasa Rasul Yohanes bersujud untuk menyembah satu malaikat, malaikat itu menolak dengan berkata, ‘Jangan buat begitu! Aku hamba Tuhan sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Yesus. Sembahlah Tuhan!’—Wahyu 19:10, AVB.