Apakah Maksudnya “Mengasihi Musuhmu”?
Jawapan Bible
Dalam Ceramah Di Atas Gunung yang terkenal, Yesus kata, ‘Kasihi musuhmu.’ (Matius 5:44; Lukas 6:27, 35) Kata-katanya bermaksud kita patut bertindak dengan kasih terhadap orang yang benci atau layan kita dengan tidak adil.
Yesus tunjuk kasih terhadap musuhnya dengan mengampuni mereka yang melayannya dengan buruk. (Lukas 23:33, 34) Ajarannya tentang kasih terhadap musuh selaras dengan apa yang dinyatakan dalam Kitab Ibrani, yang biasanya dikenali sebagai Perjanjian Lama.—Keluaran 23:4, 5; Amsal 24:17; 25:21.
“Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.”—Matius 5:43, 44.
Dalam rencana ini
Mengapa mengasihi musuhmu?
Tuhan tetapkan contoh baik. Tuhan “baik hati bahkan terhadap orang yang tidak tahu bersyukur dan orang yang jahat.” (Lukas 6:35) Dia “membuat matahari terbit untuk orang jahat.”—Matius 5:45.
Kasih boleh ubah sikap musuh. Bible galakkan kita untuk layan musuh dengan baik. Dengan demikian, kita “seperti melonggokkan bara yang bernyala di atas kepalanya.” (Amsal 25:22) Gaya bahasa metafora ini merujuk kepada proses peleburan bijih untuk keluarkan logam yang berharga. Begitu juga, jika kita layan orang yang benci kita dengan baik, kita seperti mencairkan kemarahannya dan keluarkan kebaikan dalam dirinya.
Bagaimana mengasihi musuhmu?
“Buatlah apa yang baik terhadap orang yang membenci kamu.” (Lukas 6:27) Bible kata, “Jika musuh kamu lapar, berilah dia makanan; jika dia dahaga, berilah dia minuman.” (Roma 12:20) Cara lain anda dapat tunjuk kasih terhadap musuh adalah dengan mengikut ajaran terkenal Yesus yang berbunyi, “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka.”—Lukas 6:31.
“Berkatilah mereka yang mengutuk kamu.” (Lukas 6:28) Kita berkati musuh dengan bercakap dalam cara yang baik dan bertimbang rasa, bahkan jika mereka bercakap dalam cara yang kasar. Bible kata, “Janganlah membalas . . . hinaan dengan hinaan. Sebaliknya, balaslah kejahatan dengan perbuatan yang baik.” (1 Petrus 3:9) Nasihat ini bantu kita untuk putuskan kitaran kebencian.
“Berdoalah bagi orang yang menghina kamu.” (Lukas 6:28) Jika seseorang menghina kamu, “janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan.” (Roma 12:17) Sebaliknya, mohon Tuhan untuk ampuninya. (Lukas 23:34; Kisah 7:59, 60) Jangan balas dendam, biarlah Tuhan memperlakukan orang itu mengikut keadilan-Nya yang sempurna.—Imamat 19:18; Roma 12:19.
“Teruslah mengasihi musuhmu dan buatlah apa yang baik terhadap orang yang membenci kamu. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah bagi orang yang menghina kamu.”—Lukas 6:27, 28.
“Sabar dan baik hati.” (1 Korintus 13:4) Dalam penjelasan terkenal Rasul Paulus tentang kasih, dia menggunakan suatu bentuk kata Yunani (a·gaʹpe) untuk perkataan kasih. Perkataan Yunani ini juga digunakan di Matius 5:44 dan Lukas 6:27, 35. Kita tunjuk kasih Kristian sedemikian bahkan kepada musuh kita dengan bersabar dan baik hati, serta tidak cemburu, angkuh, atau biadab.
“Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh, tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri, dan tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai. Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah, tetapi bersukacita atas perkara yang benar. Kasih menanggung segala sesuatu, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah. Kasih itu abadi.”—1 Korintus 13:4-8.
Patutkah anda berperang melawan musuh?
Tidak, kerana Yesus ajar pengikutnya untuk tidak melawan musuh mereka. Contohnya, semasa dia beri amaran bahawa Yerusalem akan diserang, Yesus tidak suruh mereka untuk tetap berada di situ dan berlawan. Sebaliknya, dia suruh mereka melarikan diri. (Lukas 21:20, 21) Yesus juga beritahu Rasul Petrus, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.” (Matius 26:52) Menurut para sejarawan dan Bible, pengikut Yesus pada abad pertama tidak pergi berperang melawan musuh mereka. a—2 Timotius 2:24.
Tanggapan yang salah mengenai kasih terhadap musuh
Tanggapan yang salah: Hukum Tuhan mengajar umat Israel membenci musuh mereka.
Kebenaran: Hukum Tuhan tidak mengandungi perintah sedemikian. Sebaliknya, ia menyuruh umat Israel mengasihi orang lain. (Imamat 19:18) Sesetengah orang Yahudi mengehadkan ungkapan “orang lain” kepada orang Yahudi sahaja. Mereka juga percaya bahawa orang bukan Yahudi ialah musuh yang patut dibenci. (Matius 5:43, 44) Yesus betulkan pandangan yang salah ini dengan menggunakan perumpamaan orang Samaria yang baik hati.—Lukas 10:29-37.
Tanggapan yang salah: Mengasihi musuh bermaksud setuju dengan perbuatan salah mereka.
Kebenaran: Bible ajar bahawa anda dapat tunjuk kasih kepada seseorang tanpa bersetuju dengan perbuatan salahnya. Misalnya, Yesus kutuk keganasan tetapi dia masih berdoa bagi mereka yang membunuhnya. (Lukas 23:34) Dia juga benci kejahatan atau dosa, tetapi rela mengorbankan nyawanya demi pendosa.—Yohanes 3:16; Roma 6:23.
a Buku The Rise of Christianity oleh E. W. Barnes kata, “Dengan mengkaji semua maklumat yang tersedia, didapati bahawa sehingga masa pemerintahan Marcus Aurelius [Maharaja Roma dari tahun 161 hingga 180 M], tiada orang Kristian yang menjadi askar; dan tiada askar yang tetap berkhidmat dalam tentera, selepas menjadi orang Kristian.”