Apakah Maksud Perumpamaan Yesus tentang Orang Samaria yang Baik Hati?
Jawapan Bible
Yesus menggunakan perumpamaan tentang orang Samaria yang baik hati untuk menunjukkan bahawa seseorang yang berbelas kasihan akan membantu orang lain, tidak kira bangsa atau latar belakang mereka. Jadi, ungkapan “orang Samaria yang baik hati” biasanya digunakan untuk menggambarkan seseorang yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Dalam rencana ini
Apakah perumpamaan tentang orang Samaria yang baik hati?
Secara ringkas, inilah perumpamaan yang diceritakan Yesus: Seorang lelaki Yahudi sedang dalam perjalanan ke Yerikho dari Yerusalem. Dalam perjalanannya, dia dirompak, dipukul, dan dibiarkan setengah mati.
Seorang imam Yahudi nampak lelaki yang cedera itu, tetapi dia meneruskan perjalanannya. Kemudian, seorang lagi pemimpin agama Yahudi juga melakukan hal yang sama. Walaupun kedua-dua lelaki itu sebangsa dengan lelaki yang cedera itu, mereka tidak berhenti untuk menghulurkan bantuan.
Akhirnya, seorang lelaki daripada bangsa lain lalu di situ. Dia seorang Samaria. (Lukas 10:33; 17:16-18) Dia berasa kasihan terhadap lelaki yang cedera itu dan merawat lukanya. Kemudian, dia membawa lelaki itu ke sebuah tempat penginapan dan menjaganya sepanjang malam. Keesokan harinya, dia memberikan wang kepada pemilik tempat penginapan itu untuk menjaga lelaki itu. Dia juga berjanji akan membayar apa-apa perbelanjaan lain yang diperlukan.—Lukas 10:30-35.
Mengapakah Yesus menceritakan perumpamaan ini?
Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada seorang lelaki Yahudi yang berfikir bahawa dia hanya perlu berbuat baik kepada orang yang sebangsa dan seagama dengannya. Yesus ingin mengajar lelaki itu satu pengajaran yang penting, iaitu dia perlu berbuat baik kepada semua orang dan bukan hanya kepada orang Yahudi. (Lukas 10:36, 37) Kisah ini tercatat dalam Bible untuk manfaat semua orang yang ingin menyenangkan hati Tuhan.—2 Timotius 3:16, 17.
Apakah pengajaran perumpamaan ini?
Perumpamaan ini mengajar kita bahawa seseorang yang baik hati akan menunjukkan belas kasihan melalui perbuatannya. Dia akan menghulurkan bantuan kepada orang yang menderita tidak kira kaum, bangsa, atau latar belakang mereka. Dia akan melayan orang lain sepertimana dia ingin dilayan.—Matius 7:12.
Siapakah orang Samaria?
Orang Samaria tinggal di kawasan utara Yudea. Mereka merangkumi keturunan yang terhasil daripada perkahwinan antara orang Yahudi dan orang bukan Yahudi.
Pada abad pertama M, orang Samaria telah membentuk kumpulan agama sendiri. Mereka menerima lima buku pertama dalam Kitab Ibrani tetapi menolak yang selebihnya.
Banyak orang Yahudi pada zaman Yesus membenci orang Samaria dan menghindari mereka. (Yohanes 4:9) Sesetengah orang Yahudi bahkan menggunakan istilah “orang Samaria” sebagai kata hinaan.—Yohanes 8:48.
Adakah perumpamaan ini sebuah kisah benar?
Bible tidak menyatakan sama ada perumpamaan ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar. Namun, Yesus sering menyebut tentang kebiasaan dan lokasi yang dikenali umum dalam ajarannya, supaya pengajaran yang ingin disampaikannya mudah difahami oleh para pendengarnya.
Banyak butiran dalam perumpamaan ini adalah tepat dari segi sejarah. Contohnya:
Jalan yang menurun dari Yerusalem ke Yerikho berjarak lebih daripada 20 kilometer, dan terdapat perubahan paras ketinggian sebanyak satu kilometer antara Yerusalem dan Yerikho. Selaras dengan butiran ini, perumpamaan Yesus dengan tepat menyatakan bahawa lelaki Yahudi itu “sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem.”—Lukas 10:30.
Orang Lewi dan para imam yang tinggal di Yerikho biasanya menggunakan jalan itu untuk pergi ke Yerusalem.
Perompak biasanya akan bersembunyi di sepanjang jalan yang terpencil itu dan menunggu peluang untuk merompak seseorang yang lalu di situ, terutamanya mereka yang bersendirian.