Mengapakah Kedamaian Sedunia Begitu Susah Dicapai?
Jawapan Bible
Usaha manusia untuk membawa keamanan sejagat telah gagal dan akan terus gagal atas sebab-sebab berikut:
“Manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.” (Yeremia 10:23) Manusia tidak diciptakan dengan kebolehan atau hak untuk memerintah diri sendiri, oleh itu mereka tidak dapat membawa kedamaian yang berkekalan.
“Jangan berharap kepada pemerintah manusia, tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu. Apabila mereka mati, mereka kembali ke tanah; pada hari itu segala rancangan mereka musnah.” (Mazmur 146:3, 4, Alkitab Berita Baik) Para pemimpin, bahkan yang berniat baik, tidak dapat menyelesaikan masalah peperangan dari akar umbinya.
‘Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia akan bersikap garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, dan sombong.’ (2 Timotius 3:1-4) Kita hidup pada “hari-hari terakhir” dunia jahat ini, oleh itu sikap kebanyakan orang sekarang membuat kedamaian susah dicapai.
“Malanglah bumi dan laut kerana Iblis sudah turun kepada kamu dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Wahyu 12:12) Si Iblis, iaitu musuh Tuhan, kini dibatasi dan hanya dibenarkan merayau di sekitar bumi. Dia mempengaruhi orang untuk meniru sifatnya yang ganas. Selagi Syaitan menjadi “pemerintah dunia,” kita tidak mungkin akan hidup aman.—Yohanes 12:31.
“Kerajaan [Tuhan] akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan [yang menentang Tuhan]. Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.” (Daniel 2:44) Kerajaan Tuhan dan bukannya kerajaan manusia, akan memuaskan keinginan kita untuk menikmati kedamaian sedunia yang kekal.—Mazmur 145:16.