Bolehkah Iblis Mempengaruhi Manusia?
Jawapan Bible
Pengaruh Iblis dan roh-roh jahat begitu kuat sehingga Bible menyatakan, “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” (1 Yohanes 5:19, Alkitab Berita Baik) Bible menjelaskan cara-cara Iblis menyesatkan manusia.
Tipu muslihat. Bible menggalakkan orang Kristian untuk “melawan tipu muslihat Iblis.” (Efesus 6:11, Terjemahan Baru) Salah satu tipu muslihatnya adalah dengan menyesatkan orang untuk percaya bahawa hamba-hamba Iblis ialah hamba Tuhan.—2 Korintus 11:13-15.
Spiritisme. Iblis menyesatkan orang melalui bomoh, tukang tilik nasib, dan mereka yang mengamalkan ilmu ghaib atau ramalan bintang. (Ulangan 18:10-12) Penggunaan dadah, hipnosis, dan teknik meditasi yang mengosongkan fikiran juga mendedahkan seseorang kepada pengaruh roh-roh jahat.—Lukas 11:24-26.
Agama palsu. Agama-agama yang mengajar ajaran palsu menyesatkan orang untuk tidak mentaati Tuhan. (1 Korintus 10:20) Bible menyebut ajaran palsu sedemikian sebagai “ajaran roh-roh jahat.”—1 Timotius 4:1.
Dirasuk roh-roh jahat. Bible mencatatkan kisah orang yang dirasuk oleh roh-roh jahat. Kadangkala mereka menjadi buta atau bisu, bahkan ada yang mencederakan diri sendiri.—Matius 12:22; Markus 5:2-5.
Cara menghindari pengaruh Iblis
Anda tidak perlu takut akan pengaruh Iblis kerana Bible mengajar kita cara untuk melawannya dengan berjaya:
Kenal pasti cara-cara yang digunakan oleh Iblis “kerana kita bukannya tidak mengetahui muslihatnya.”—2 Korintus 2:11.
Pelajari Bible dan terapkan apa yang dipelajari. Dengan demikian, anda akan dilindungi daripada pengaruh Iblis.—Efesus 6:11-18.
Musnahkan benda-benda yang berkaitan dengan roh-roh jahat. (Kisah 19:19) Contohnya, buku, majalah, poster, muzik, dan video yang mengandungi unsur spiritisme.