Apakah Itu Syurga?
Jawapan Bible
Dalam Bible, perkataan “syurga” berasal daripada perkataan Ibrani sha·maʹyim. Perkataan ini boleh merujuk kepada: (1) Langit atau angkasa lepas; (2) alam roh; dan (3) kedudukan yang tinggi atau mulia secara kiasan. Dalam bahasa Melayu, perkataan ini diterjemahkan sebagai “syurga” atau “langit” mengikut konteks. a
Langit atau angkasa lepas. Dalam konteks ini, “langit” merujuk kepada atmosfera bumi, di mana angin bertiup, burung terbang, awan menghasilkan hujan dan salji, dan kilat memancar. (Mazmur 78:26; Amsal 30:19; Yesaya 55:10; Lukas 17:24) “Langit” juga bermaksud angkasa lepas, di mana terdapat “matahari, bulan, dan bintang.”—Ulangan 4:19; Kejadian 1:1.
Alam roh. Istilah “syurga” juga merujuk kepada syurga rohani, atau alam roh, iaitu alam kehidupan yang lebih tinggi dan yang terletak di luar alam semesta fizikal. (Yohanes 6:38) Syurga rohani ini dihuni oleh Tuhan Yehuwa, yang merupakan “Roh,” dan juga oleh malaikat-malaikat yang diciptakan-Nya. (Yohanes 4:24; Matius 24:36) Ada kalanya, alam roh dan malaikat di situ juga dipanggil “langit.”—Mazmur 89:5, Alkitab Versi Borneo.
Bible juga menggunakan “syurga” untuk merujuk khasnya kepada bahagian alam roh di mana Yehuwa tinggal. (1 Raja-Raja 8:43, 49; Ibrani 9:24; Wahyu 13:6) Contohnya, Bible menubuatkan bahawa Syaitan dan roh-roh jahat akan diusir dari syurga dan tidak lagi dibenarkan untuk masuk ke hadirat Yehuwa. Walaupun demikian, roh-roh ini tetap berada di alam roh.—Wahyu 12:7-9, 12.
Kedudukan yang tinggi atau mulia secara kiasan. Bible menggunakan “syurga” untuk melambangkan kedudukan yang tinggi, biasanya sehubungan dengan pihak pemerintah yang berkuasa. Kedudukan sebegini mungkin dimiliki oleh:
Tuhan Yehuwa sendiri sebagai Tuhan Berdaulat yang maha kuasa.—2 Tawarikh 32:20, Alkitab Versi Borneo; Lukas 15:21.
Kerajaan Tuhan, iaitu kerajaan yang akan menggantikan pemerintahan manusia. Bible merujuk kepada Kerajaan itu sebagai “langit baru.”—Yesaya 65:17; 66:22; 2 Petrus 3:13. b
Orang Kristian di bumi yang mempunyai harapan untuk pergi ke syurga.—Efesus 2:6.
Kerajaan manusia yang berkuasa atas rakyat.—Yesaya 14:12-14; Daniel 4:20-22; 2 Petrus 3:7.
Roh-roh jahat yang sedang menguasai dunia ini.—Efesus 6:12; 1 Yohanes 5:19.
Bagaimanakah keadaan di syurga?
Alam roh sibuk dengan aktiviti. Alam ini diduduki oleh beratus-ratus juta makhluk roh yang “melakukan perintah [Yehuwa].”—Mazmur 103:20, 21; Daniel 7:10.
Bible menggambarkan syurga sebagai tempat yang diterangi dengan gemilang. (1 Timotius 6:15, 16) Nabi Yehezkiel dan Daniel telah menerima penglihatan tentang keadaan di syurga. Yehezkiel nampak “cahaya berkilauan,” manakala Daniel melihat “api mengalir” dari takhta Tuhan. (Yehezkiel 1:26-28; Daniel 7:9, 10) Syurga ialah tempat yang suci, atau bersih, dan indah.—Mazmur 96:6; Yesaya 63:15; Wahyu 4:2, 3.
Secara keseluruhan, Bible memberikan tanggapan bahawa syurga amat mengagumkan. (Yehezkiel 43:2, 3) Walau bagaimanapun, manusia tidak dapat memahami keadaan syurga dengan sepenuhnya kerana semua ini di luar pemahaman kita.
a Nampaknya, perkataan Ibrani bagi “syurga” berasal daripada kata dasar yang bermaksud “tinggi,” atau “mulia.” (Amsal 25:3; Mazmur 102:20) Lihat The New Brown, Driver, and Briggs Hebrew and English Lexicon of the Old Testament, muka surat 1029.
b McClintock and Strong’s Cyclopedia menyatakan bahawa langit baharu di Yesaya 65:17 melambangkan “sebuah pemerintahan baharu, kerajaan baharu.”—Jilid IV, muka surat 122.