SIAPAKAH PEREKANYA?
Keupayaan Hormon untuk Mengawal Fungsi Tubuh Kita
Untuk pastikan tubuh kita berfungsi dengan baik, kita perlu ada jumlah elektrolit (seperti kalsium) yang spesifik dalam saluran darah kita. Tetapi, kadar elektrolit yang kita dapatkan setiap hari adalah berbeza. Jadi, bagaimanakah tubuh kita memastikan kita mempunyai jumlah elektrolit yang sesuai pada setiap masa?
Tubuh yang sihat dapat mengawal kadar elektrolit dengan menghasilkan, menyimpan, dan melepaskan hormon ke dalam saluran darah. Hormon ialah bahan kimia yang mengawal pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Hormon dalam jumlah yang kecil pun dapat memberikan kesan yang besar kepada tubuh anda. Menurut Encyclopedia Britannica, proses melepaskan hormon “bukanlah sesuatu yang berlaku secara tidak menentu; prosesnya rumit tetapi berlaku dengan tepat dan terkawal.”
Sebagai contoh, kelenjar paratiroid yang terletak di leher dapat mengesan apa-apa perubahan terhadap kadar kalsium dalam darah. Secara umumnya, tubuh kita mempunyai empat kelenjar ini, dan setiap satu adalah sebesar sebutir beras.
Apabila kelenjar ini mengesan bahawa kadar kalsium berada di bawah tahap tertentu, kelenjar ini akan segera melepaskan sejenis hormon. Ada kalanya dalam beberapa saat saja, hormon ini akan merangsang tulang yang menyimpan kalsium untuk melepaskannya ke dalam darah. Hormon ini juga merangsang ginjal untuk berhenti menapis kalsium daripada darah. Selain itu, usus kecil akan meningkatkan kadar penyerapan kalsium daripada makanan.
Namun, jika darah mengandungi terlalu banyak kalsium, satu lagi kelenjar, iaitu tiroid, akan melepaskan hormon yang berbeza. Hormon ini akan merangsang tulang untuk menyerap dan menyimpan kalsium tersebut, serta merangsang ginjal untuk menapis dan menyingkirkan lebih banyak kalsium.
Selain daripada dua jenis hormon ini, terdapat lebih daripada seratus jenis hormon lain yang memastikan tubuh kita berfungsi dengan baik.
Apakah pandangan anda? Adakah keupayaan hormon yang menakjubkan ini wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?