SIAPAKAH PEREKANYA?
Kedudukan Sayap Kupu-Kupu Kubis yang Berbentuk V
Kupu-kupu bergantung pada matahari untuk menghangatkan otot terbangnya sebelum dapat terbang. Tetapi pada hari yang mendung, kupu-kupu kubis dapat mula terbang lebih awal daripada kupu-kupu yang lain. Mengapakah kupu-kupu kubis mempunyai kelebihan ini?
Fikirkan: Sebelum dapat terbang, banyak jenis kupu-kupu perlu menghangatkan otot terbangnya di bawah sinaran matahari. Ada yang akan menutup sayapnya dengan sepenuhnya dan ada pula yang akan membuka sayapnya dengan sepenuhnya. Namun, kupu-kupu kubis menggunakan kedudukan sayap berbentuk V. Para ahli sains mendapati bahawa kedudukan sayap berbentuk V menghasilkan sudut optimum untuk memfokuskan cahaya pada otot kupu-kupu. Kupu-kupu ini menumpukan tenaga suria pada otot toraksnya agar dapat terbang.
Para penyelidik dari Universiti Exeter, England, meniru kedudukan sayap kupu-kupu kubis untuk menghasilkan panel suria yang berbentuk V. Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa tenaga yang dihasilkan dengan menggunakan panel suria itu bertambah sebanyak hampir 50 peratus daripada sebelumnya.
Mereka juga memperhatikan bahawa permukaan sayap kupu-kupu ini dapat memantulkan cahaya dengan sangat efektif. Dengan meniru kedudukan sayap dan permukaan sayap kupu-kupu ini, mereka dapat menghasilkan panel suria yang lebih ringan dan lebih berkesan. Hasil-hasil kajian ini mendorong Profesor Richard ffrench-Constant, iaitu salah seorang penyelidik dari universiti yang sama, untuk menyatakan bahawa kupu-kupu kubis yang berwarna putih ini ialah “pakar penyerap tenaga suria.”
Apakah pandangan anda? Adakah kedudukan sayap kupu-kupu kubis yang berbentuk V wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?