Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Sonar Ikan Lumba-Lumba

Sonar Ikan Lumba-Lumba

 Untuk mengetahui objek-objek yang ada di sekelilingnya, ikan lumba-lumba mengeluarkan bunyi siulan atau bunyi “klik” yang akan menghasilkan gema. Selepas mengkaji sonar pada ikan lumba-lumba, terutamanya pada ikan lumba-lumba jenis bottlenose (Tursiops truncatus), para ahli sains sedang memajukan sistem akustik bawah air yang lebih canggih.

 Fikirkan: Sonar ikan lumba-lumba membolehkannya untuk mencari ikan yang sedang bersembunyi di dasar laut dan membezakannya daripada seketul batu. Menurut Keith Brown, seorang pembantu profesor di Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland, seekor ikan lumba-lumba dapat mengetahui “perbezaan antara bekas yang mengandungi air tawar, air masin, air sirap, dengan bekas yang mengandungi minyak, dari jarak 10 meter.” Para ahli sains berharap agar mereka dapat menciptakan alat-alat yang mempunyai kebolehan sonar ikan lumba-lumba.

Dari jarak sejauh 10 meter, ikan lumba-lumba dapat membezakan kandungan sesuatu bekas

 Para pengkaji telah menyelidiki pendengaran dan bunyi yang dikeluarkan oleh ikan lumba-lumba. Hasilnya, mereka dapat mencipta sebuah alat sonar yang mempunyai banyak komponen elektronik yang canggih, dan dapat dimuatkan ke dalam sebuah bekas silinder yang berukuran kira-kira satu meter panjang. Alat itu dipasang pada sebuah robot bawah air untuk meneliti benda-benda di dasar laut, contohnya kabel atau paip gas. Pereka alat ini berharap agar alat ini dapat diperbaik dan digunakan dalam industri gas dan minyak kelak. Mereka juga berharap agar alat sonar ini dapat meluaskan ruang lingkup data yang dikumpulkan oleh alat-alat sonar yang ada sekarang. Dengan demikian, para juruteknik dapat menentukan lokasi yang terbaik untuk meletakkan alat-alat bawah air, mencari kerosakan atau keretakan pada kaki pelantar minyak di dasar laut, dan mengetahui jika terdapat paip bawah laut yang tersumbat dan perlu dibaiki.

 Apakah pandangan anda? Adakah sonar ikan lumba-lumba wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?