Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Sudahkah Saya Bersedia Meninggalkan Rumah dan Hidup Berdikari?

Sudahkah Saya Bersedia Meninggalkan Rumah dan Hidup Berdikari?

 Walaupun meninggalkan rumah dan hidup berdikari nampaknya menyeronokkan, hal itu mungkin juga membuat kamu rasa takut. Bagaimanakah kamu tahu sama ada kamu sudah bersedia untuk meninggalkan rumah dan hidup berdikari?

 Apakah sebab kamu ingin berpindah

 Walaupun ada banyak sebab mengapa kamu ingin meninggalkan rumah, sesetengah sebab itu mungkin kurang bijak. Contohnya, seorang pemuda yang bernama Mario mengakui, “Saya ingin pindah keluar supaya saya dapat lari daripada tanggungjawab di rumah.”

 Hakikatnya, kamu mungkin menjadi kurang bebas apabila kamu pindah keluar dan hidup berdikari. Onya yang berumur 18 tahun kata, “Jika kamu meninggalkan rumah, kamu perlu menjaga rumah sendiri, sediakan makanan sendiri, bayar bil sendiri, dan ibu bapa tidak akan bersama kamu untuk membantu kamu melakukan semua hal itu!”

 Kesimpulan: Jika kamu ingin tahu sama ada kamu sudah bersedia untuk meninggalkan rumah, kamu perlu mengkaji terlebih dahulu mengapa kamu ingin berbuat demikian.

 Memeriksa situasi sendiri

 Yesus berkata: “Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak?” (Lukas 14:28) Bagaimanakah kamu boleh “mengira perbelanjaan” sebelum meninggalkan rumah? Periksalah situasi sendiri dalam hal-hal berikut:

ADAKAH KAMU TAHU CARA UNTUK MENGURUS WANG?

 Bible berkata: “Duit dapat melindungi seseorang.”​—Pengkhutbah 7:​12.

  •  Adakah kamu rasa susah untuk menyimpan wang?

  •  Adakah kamu seorang yang boros?

  •  Adakah kamu selalu meminjam wang daripada orang lain?

 Jika kamu menjawab ya kepada mana-mana satu soalan di atas, kamu mungkin akan menghadapi masalah yang besar apabila kamu meninggalkan rumah!

 “Abang saya meninggalkan rumah semasa dia berumur 19 tahun. Dalam masa satu tahun, wang simpanannya habis, keretanya ditarik balik, dan dia tidak dibenarkan meminjam wang daripada bank kerana namanya disenaraihitamkan. Jadi dia merayu untuk pulang ke rumah.”​—Danielle.

 Apa yang boleh kamu lakukan sekarang: Tanyalah ibu bapa kamu tentang perbelanjaan mereka dalam sebulan. Apakah bil yang perlu dibayar, dan bagaimanakah mereka sediakan wang yang mencukupi untuk membiayai hutang tersebut? Apakah pelan simpanan mereka?

 Kesimpulan: Belajarlah cara untuk mengurus wang semasa tinggal bersama ibu bapa. Hal ini akan mempersiapkan kamu untuk mengendalikan kewangan dengan bijak semasa hidup bersendirian.

ADAKAH KAMU SEORANG YANG BERDISIPLIN?

 Bible berkata, “Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.”​—Galatia 6:5.

  •  Adakah kamu seorang yang suka menangguh-nangguhkan kerja?

  •  Adakah ibu bapa kamu perlu mengingatkan kamu berulang kali untuk melakukan kerja di rumah?

  •  Adakah kamu sering pulang ke rumah lebih lewat daripada masa yang ditetapkan?

 Jika kamu menjawab ya kepada mana-mana satu soalan di atas, kamu akan rasa lebih susah untuk memikul tanggungjawab semasa tinggal bersendirian.

 “Apabila kamu tinggal seorang diri, ada hal yang mungkin kamu tidak suka tetapi masih perlu dilakukan. Tiada orang akan mengingatkan kamu, jadi kamu perlu berdisiplin dan mengaturkan masa untuk melakukan hal-hal tersebut.”​—Jessica.

 Apa yang boleh kamu lakukan sekarang: Dalam masa sebulan, cubalah untuk melakukan sebanyak mungkin kerja di rumah. Contohnya, kamu boleh membersihkan rumah tanpa meminta bantuan orang lain, mencuci pakaian sendiri, membeli makanan, memasak, dan mencuci pinggan mangkuk selepas makan. Melalui cara ini, kamu akan tahu apakah tanggungjawab yang perlu dipikul semasa tinggal bersendirian.

 Kesimpulan: Jika kamu mahu hidup berdikari, belajarlah dahulu untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Meninggalkan rumah tanpa persiapan sama seperti terjun dari kapal terbang tanpa mempelajari cara menggunakan payung terjun

ADAKAH KAMU STABIL SECARA EMOSI?

 Bible berkata, “Kamu mesti menyingkirkan hal-hal ini daripada diri kamu: perasaan berang, kemarahan, kejahatan, kata-kata hinaan.”​—Kolose 3:8.

  •  Adakah kamu mempunyai masalah semasa berurusan dengan orang lain?

  •  Adakah kamu rasa susah untuk mengawal perasaan marah?

  •  Adakah kamu selalu paksa orang untuk ikut cara kamu?

 Jika kamu menjawab ya kepada mana-mana satu soalan di atas, kamu bakal menghadapi masalah untuk tinggal serumah dengan orang lain, termasuk pasangan hidup kamu pada masa depan.

 “Kelemahan saya terdedah semasa saya tinggal dengan orang lain. Saya sedar bahawa saya tidak harus mengharapkan orang lain untuk selalu bersabar apabila saya tunjuk kemarahan akibat stres. Saya perlu pilih cara yang lebih baik untuk mengendalikan stres saya.”​—Helena.

 Apa yang boleh kamu lakukan sekarang: Belajarlah untuk hidup berdamai dengan ibu bapa dan adik-beradik kamu. Jika kamu dapat mengendalikan ketidaksempurnaan orang yang tinggal bersama kamu sekarang dengan baik, kamu dapat melakukan hal yang sama apabila tinggal bersama orang lain pada masa depan.

 Kesimpulan: Tinggal bersendirian tidak bermaksud melarikan diri daripada tanggungjawab dalam rumah. Sebaliknya, kamu harus membuat persiapan untuk menimba pengalaman dan memperoleh kemahiran yang diperlukan. Dapatkanlah nasihat daripada mereka yang pernah tinggal bersendirian. Tanyalah mereka, jika mereka berpeluang memilih lagi, apakah keputusan yang mereka akan buat? Memang bijak untuk mendapat nasihat daripada orang yang berpengalaman sebelum membuat apa-apa keputusan yang penting!