KAUM MUDA BERTANYA
Patutkah Saya Membuat Tatu?
Apakah sebab-sebabnya untuk bertatu?
Seorang pemuda yang bernama Ryan berkata, “Saya rasa tatu adalah seperti karya seni yang indah.”
Anda juga mungkin ingin membuat tatu selepas mendengar pandangan orang lain mengenai tatu. Contohnya, seorang remaja yang bernama Jilian berkata, “Semasa di sekolah dahulu, ibu rakan saya meninggal ketika dia masih kecil. Setelah dia menjadi remaja, dia membuat tatu nama ibunya di belakang leher. Saya rasa perbuatannya itu sangat menyentuh hati.”
Tatu tidak dapat dipadamkan! Maka, tidak kira apa alasannya, fikirlah dengan masak-masak sebelum anda membuat tatu. Apakah soalan-soalan yang perlu anda pertimbangkan sebelum membuat tatu? Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak?
Apakah soalan yang patut anda pertimbangkan?
Adakah tatu membahayakan kesihatan saya? Sebuah rencana di laman web Mayo Clinic mengatakan, “Tatu dapat merosakkan kulit. Jadi, anda berkemungkinan mengalami jangkitan kulit atau masalah lain. Kadangkala, kesan-kesan benjol yang dikenali sebagai granuloma akan muncul di sekeliling tatu. Selain itu, tatu juga dapat menyebabkan keloid. Keloid terhasil daripada pengeluaran tisu yang berlebihan di tempat luka atau parut yang sedang sembuh.” Laman web itu juga berkata, “Jika peralatan yang digunakan untuk membuat tatu telah dicemari oleh darah orang yang sakit, kemungkinan besar anda juga akan dijangkiti penyakit akibat darah yang tercemar itu.”
Apakah pengaruh tatu terhadap reputasi anda? Hakikatnya, orang akan menilai anda melalui penampilan anda. Anda mungkin dianggap sebagai seorang yang matang dan dapat dipercayai ataupun sebaliknya. Seorang remaja yang bernama Samantha berkata, “Setiap kali saya nampak orang yang bertatu, saya menganggapnya sebagai orang yang suka berpesta liar.”
Melanie, yang berumur 18 tahun, berkata, “Bagi saya, tatu menutupi kecantikan yang semula jadi. Jika anda membuat tatu, anda seolah-olah menyembunyikan diri anda yang sebenar di sebalik tatu itu supaya orang tidak tahu tentang diri anda.”
Adakah corak tatu itu akan sentiasa menjadi kegemaran anda? Apabila seseorang bertambah berat atau menjadi semakin tua, bentuk tatu yang ada pada kulit boleh berubah atau berkedut. Seorang pemuda yang bernama Joseph berkata, “Saya pernah melihat tatu seseorang yang dibuat sejak puluhan tahun yang lalu dan sekarang tatu itu menjadi hodoh.”
“Seraya masa berlalu, corak tatu akan ketinggalan zaman. Seseorang mungkin menganggap bahawa tatu yang dibuatnya sekarang sangat penting, tetapi beberapa tahun kemudian pandangannya boleh berubah,” kata Allen yang berumur 21 tahun.
Kata-kata Allen memang benar. Seraya usia meningkat, pandangan, pilihan, dan kegemaran seseorang boleh berubah, tetapi tatu tidak. Seorang wanita muda yang bernama Teresa berkata, “Kalau saya ada tatu di badan, saya akan selalu teringat tentang hal-hal bodoh yang pernah menjadi kesukaan saya. Saya tidak mahu melakukan sesuatu yang membuat saya rasa menyesal pada kemudian hari.”
Apakah prinsip Bible yang boleh diterapkan?
Orang yang matang akan membuat pertimbangan dengan baik sebelum membuat keputusan. (Amsal 21:5; Ibrani 5:14) Jadi, mengenai membuat tatu, pertimbangkanlah prinsip-prinsip yang berikut:
Kolose 3:20: “Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita.”
Adakah anda masih tinggal bersama ibu bapa anda? Jika ya, apakah akibatnya sekiranya anda gagal mentaati mereka?
1 Petrus 3:3, 4: “Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain, misalnya dengan gaya rambut yang keterlaluan, dengan perhiasan emas, atau dengan pakaian yang mewah. Sebaliknya, hiaslah batin kamu dengan sikap tenang dan lemah lembut. Itulah perhiasan yang tidak dapat musnah.”
Pada pendapat anda, mengapakah Bible mementingkan kecantikan batin?
1 Timotius 2:9: ‘Kaum wanita harus menghias diri dengan sederhana dan dengan fikiran yang sihat.’
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “sederhana”? Seraya masa berlalu, mengapakah kesederhanaan lebih baik berbanding tatu?
Roma 12:1: ‘Persembahkanlah tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang diperkenankan Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.’
Apa-apa sahaja yang anda lakukan terhadap tubuh anda dapat mempengaruhi Tuhan. Mengapa?
Kebanyakan orang memilih untuk tidak membuat tatu selepas mempertimbangkan faktor-faktor tersebut. Mereka menyedari bahawa terdapat perkara lain yang lebih bermakna daripada tatu. Teresa, yang disebutkan tadi, berkata, “Kalau anda berasa bahawa terdapat suatu ungkapan atau slogan yang sangat bermakna, terapkanlah hal itu dalam kehidupan anda. Kalau anda mengasihi seseorang, ungkapkanlah perasaan itu kepadanya. Bertindaklah selaras dengan pegangan hidup anda dan bukan menjadikannya tatu.”