KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah jika Saya Mengalami Masalah Kesihatan? (Bahagian 3)
Biasanya, kaum muda mempunyai badan yang sihat dan mereka nampaknya sentiasa bertenaga. Namun, sesetengah kaum muda pula dibatasi oleh masalah kesihatan yang serius. Adakah kamu juga menghadapi situasi begitu? Jika ya, kamu dapat digalakkan oleh pengalaman tiga orang Saksi-Saksi Yehuwa dalam rencana ini. Mereka ialah V’loria, Justin, dan Nisa. Perhatikan bagaimana mereka menangani masalah kesihatan mereka.
V’loria
Sejak berumur 14 tahun, saya sudah menghidap penyakit fibromyalgia. (Penyakit yang menyebabkan orang menderita kesakitan di seluruh bahagian tubuh.) Apabila berumur 20 tahun, saya juga mengalami artritis, lupus, dan penyakit Lyme. Saya berasa sangat susah untuk melakukan semua perkara kerana saya selalu keletihan. Kadangkala, separuh bawah bahagian tubuh saya menjadi lumpuh. Jadi, saya harus menggunakan kerusi roda.
Saya sudah cukup tertekan kerana penyakit yang saya alami. Tetapi fikiran dan perasaan saya menyebabkan saya sangat terseksa apabila saya gagal membuat suatu kerja biarpun sangat mudah, seperti menulis atau membuka penutup balang. Semasa saya melihat kanak-kanak lain berjalan, saya tertanya-tanya mengapa saya tidak dapat berbuat demikian. Hal ini membuat saya berasa sangat tidak berguna.
Meskipun begitu, saya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada keluarga saya, termasuk kawan-kawan dari sidang saya. Mereka selalu melawat saya supaya saya tidak berasa kesepian. Mereka mengajak saya untuk menyertai aktiviti sosial bersama biarpun mereka perlu mengangkat saya dari kerusi roda untuk keluar dan masuk kereta.
Mereka yang sudah lanjut usia di sidang memberi saya banyak kelegaan kerana mereka sangat memahami perasaan seseorang yang menghadapi masalah kesihatan. Mereka membantu saya untuk menerima keterbatasan saya dan tidak menyalahkan diri jika saya tidak mampu melakukan banyak perkara seperti orang lain. Saya sangat gembira apabila menghadiri perjumpaan dan menginjil. (Ibrani 10.25) Apabila melakukan aktiviti sebegitu, saya dapat nampak bahawa saya juga dapat melakukan banyak perkara biarpun menghidap penyakit yang serius.
Saya sentiasa ingat bahawa Yehuwa akan memberikan apa-apa sahaja supaya kita dapat bertabah. Contohnya, Bible menyatakan bahawa walaupun tubuh seseorang beransur-ansur reput, hati dan mindanya “dibaharui setiap hari.” (2 Korintus 4:16) Itulah perasaan saya!
Cuba renungkan: Jika kamu menghidap penyakit yang serius, mengapakah penting untuk mendapatkan bantuan orang lain? Jika kamu tidak mempunyai masalah kesihatan, bagaimana pula kamu dapat memberikan sokongan kepada kawan kamu yang sakit?—Amsal 17:17.
Justin
Saya terjatuh ke lantai dan tidak dapat berdiri. Dada saya berasa tegang dan saya tidak dapat bergerak. Saya dikejarkan ke bilik kecemasan. Pada mulanya, doktor tidak dapat mengenal pasti masalah saya. Tetapi, apabila kejadian ini berlaku berulang kali, mereka menyimpulkan bahawa saya menghidap penyakit Lyme.
Penyakit Lyme telah merosakkan sistem saraf saya. Badan saya masih menggeletar sehingga hari ini. Kadangkala keadaan saya sangat teruk biarpun sudah makan ubat selama bertahun-tahun. Ada masanya, badan atau jari-jari saya berasa sangat sakit sehingga saya tidak dapat menggerakkannya. Sendi-sendi saya seolah-olah sudah berkarat.
Dahulu saya selalu berfikir, “Saya terlalu muda untuk dapat penyakit begini.” Hal ini membuat saya menjadi marah. Setiap hari, saya akan menangis kepada Tuhan dan bertanya, “Mengapa saya perlu mengalami semua ini?” Saya juga berasa bahawa Tuhan telah mengabaikan saya. Tetapi, saya teringat tentang kisah Ayub yang ada dalam Bible. Ayub tidak faham sepenuhnya mengapa dia perlu menderita, namun dia tetap setia kepada Tuhan. Jika Ayub dapat menghadapi banyak kesusahan, saya juga dapat berbuat demikian.
Para penatua di sidang saya memberikan banyak sokongan. Mereka selalu bertanya dan ingin tahu tentang keadaan saya. Seorang penatua memberitahu saya bahawa saya boleh menelefonnya pada bila-bila masa sahaja. Saya berterima kasih kepada Yehuwa atas sahabat-sahabat seperti ini!—Yesaya 32:1, 2.
Apabila kita menghidap penyakit yang serius, kita mudah lupa bahawa Yehuwa tahu apa yang kita lalui. Bible berkata, “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu.” (Mazmur 55:22) Itulah yang saya cuba lakukan setiap hari.
Cuba renungkan: Bagaimanakah orang yang mengasihi kamu dapat membantu kamu untuk terus bertabah?—Amsal 24:10; 1 Tesalonika 5:11.
Nisa
Semasa remaja, saya disahkan menghidap sindrom Marfan. Penyakit ini dapat menyebabkan sendi-sendi saya menjadi lemah. Sindrom Marfan juga mempengaruhi organ-organ penting saya yang lain seperti jantung dan mata. Saya tidak berada dalam kesakitan setiap hari tetapi apabila saya berasa sakit rasa sakit itu amat teruk.
Selepas saya disahkan menghidap penyakit ini, saya sering menangis. Saya risau saya tidak akan dapat buat perkara-perkara yang saya suka lagi. Sebagai contoh, saya suka menari tetapi pada masa depan saya tidak akan dapat menari lagi. Hal ini demikian kerana saya mungkin akan berasa sangat sakit bahkan semasa berjalan. Semua ini buat saya berasa takut akan masa depan.
Saya menerima banyak sokongan daripada kakak saya. Dia membantu saya untuk tidak terus berasa kasihan terhadap diri sendiri. Dia memberitahu saya agar tidak terus hidup dalam ketakutan kerana hal itu akan mensia-siakan hidup saya. Dia juga menggalakkan saya untuk terus berdoa kerana Yehuwa memahami apa yang saya lalui dengan sepenuhnya.—1 Petrus 5:7.
Mazmur 18:6 merupakan salah satu ayat Bible yang benar-benar menggalakkan saya. Ayat itu berkata, “Dalam kesusahanku, aku berseru kepada Yehuwa. Aku terus berseru kepada Tuhanku untuk meminta tolong, lalu Dia mendengar seruanku dari rumah-Nya; Sememangnya, seruanku untuk meminta tolong sampai ke telinga-Nya.” Ayat ini membantu saya sedar bahawa apabila saya berdoa kepada Yehuwa dan memohon bantuan-Nya, Dia akan mendengar dan membantu saya. Dia sentiasa berada di sisi saya.
Seseorang pasti berasa sedih dan tawar hati atas masalah yang berlaku. Tetapi saya belajar bahawa adalah penting untuk tidak membiarkan diri ditelan perasaan sebegitu, dan tidak membiarkannya mempengaruhi persahabatan kita dengan Yehuwa. Yehuwa bukanlah penyebab masalah kita. Selagi kita mengutamakan-Nya dalam kehidupan kita, Dia pasti tidak akan meninggalkan kita.—Yakobus 4:8.
Cuba renungkan: Adakah penderitaan kita disebabkan oleh Tuhan?—Yakobus 1:13.