Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Tidur Secukupnya?

Bagaimanakah Saya Dapat Tidur Secukupnya?

 Jika kamu gagal dalam subjek matematik, kamu mungkin berfikir bahawa kamu perlu belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Jika prestasi sukan kamu kurang memuaskan, kamu mungkin berfikir bahawa kamu perlu lebih banyak latihan. Tetapi perkara yang mungkin kamu perlukan dalam kedua-dua situasi ini adalah lebih banyak masa untuk tidur. Pertimbangkan sebab-sebabnya.

 Mengapakah kamu perlu tidur?

 Menurut pakar, kebanyakan remaja perlu tidur selama lapan hingga sepuluh jam setiap hari. Apakah manfaat yang diperoleh jika kamu tidur dengan secukupnya?

  •   Mengasah kemahiran berfikir. Tidur adalah penting untuk kecerdasan otak. Tidur dapat meningkatkan prestasi kamu di sekolah, dalam aktiviti sukan, dan kemahiran menyelesaikan masalah.

  •   Memperbaik keperibadian dan menstabilkan emosi. Orang yang tidak cukup tidur cenderung untuk mengalami perubahan emosi yang mendadak, berasa sedih atau murung, dan susah mengekalkan hubungan yang baik dengan orang lain.

  •   Mengelakkan kemalangan jalan raya. Di Amerika Syarikat, sebuah kajian melaporkan bahawa pemandu berusia antara 16 hingga 24 tahun terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan faktor mengantuk. Jumlah kemalangan dalam lingkungan umur ini adalah hampir dua kali ganda berbanding pemandu yang berusia antara 40 hingga 59 tahun.

  •   Menyihatkan badan. Tidur membantu tubuh kamu untuk membaharui dan membaiki sel, tisu, dan saluran darah. Tidur yang lena juga dapat mengurangkan risiko obesiti, penyakit kencing manis, dan strok.

Sepertimana telefon bimbit perlu dicas agar dapat terus berfungsi, kamu juga perlu mendapatkan tidur yang secukupnya agar dapat memberikan prestasi yang baik

 Apakah yang mengganggu masa tidur kamu?

 Walaupun ramai kaum muda menyedari manfaat-manfaat yang disebutkan di atas, kebanyakan antara mereka tidak mendapat masa tidur yang secukupnya. Contohnya, Elaine yang berumur 16 tahun berkata:

 “Cikgu menanya seluruh kelas jam berapa kami tidur. Kebanyakan murid kata jam 2 pagi. Yang lain pula kata jam 5 pagi. Hanya seorang sahaja yang kata 9:30 malam.”

 Apakah yang menyebabkan kamu kurang tidur?

 Kehidupan sosial. “Apabila saya keluar dengan kawan-kawan, memang senang untuk membuang masa dan akhirnya tidur lewat.”—Pamela.

 Tanggungjawab. “Saya memang suka tidur. Tapi susah untuk tidur dengan secukupnya kerana saya sangat sibuk.”—Ana.

 Teknologi. “Saya selalu lewat tidur gara-gara telefon bimbit. Apabila sedang berbaring, saya tidak dapat tidur kalau tidak main telefon saya.”—Anisa.

 Bagaimanakah kamu dapat tidur secukupnya?

  •   Periksa pandangan kamu tentang masa tidur. Bible menyatakan, “Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.” (Pengkhutbah 4:6) Mendapatkan masa tidur yang secukupnya adalah suatu keperluan asas, dan bukanlah ikut suka hati saja. Tanpa masa tidur yang secukupnya, prestasi kerja kita akan menurun, dan masa untuk rekreasi akan kurang menyeronokkan juga!

  •   Kenal pasti sebab-sebab yang membuat kamu lewat tidur. Misalnya, adakah kamu keluar bersama kawan sehingga larut malam? Adakah kamu mempunyai terlalu banyak kerja sekolah dan kerja rumah? Adakah telefon bimbit menyebabkan kamu tidur lewat atau mengganggu tidur kamu?

 Cuba renungkan: Setelah kamu mengetahui sebab-sebab yang membuat kamu kurang tidur, kamu perlu berusaha untuk mengatasinya. Hal ini memang tidak mudah tetapi usaha kamu memang berbaloi. Amsal 21:5 berkata, “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”

 Sudah tentu, bukan semua cara berkesan untuk setiap orang. Sebagai contoh, sesetengah orang mendapati bahawa mereka dapat tidur dengan lena pada waktu malam jika mereka tidur sekejap pada siang hari. Manakala yang lain pula berasa bahawa cara ini membuat mereka susah tidur pada waktu malam. Jadi, ketahuilah cara yang paling sesuai untuk kamu. Cadangan-cadangan berikut dapat membantu kamu:

  •   Luangkan masa untuk relaks. Kamu lebih mudah untuk lelap jika kamu tidak melakukan kerja yang berat sebelum tidur.

     “Siapkanlah kerja rumah dan kerja lain lebih awal supaya kamu dapat tidur dengan lena.”—Maria.

  •   Buat rancangan lebih awal. Janganlah membiarkan situasi mengawal kamu. Sebaliknya, aturlah jadual dengan baik agar kamu mendapat tidur yang secukupnya. Dengan itu, masa tidur kamu tidak akan terjejas.

     “Setiap hari, saya memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk tidur. Jika saya perlu bangun awal pada keesokan harinya, saya akan menyelaraskan jadual saya supaya dapat tidur lebih awal.”—Vincent.

  •   Ikut rutin yang ditetapkan. Pakar mencadangkan agar kamu tidur dan bangun pada masa yang sama. Lama-kelamaan, badan kamu akan menjadi biasa dengan corak tidur kamu. Cubalah cara ini selama sebulan. Kamu akan merasakan manfaatnya.

     “Setiap malam, kalau kamu tidur pada waktu yang sama, minda kamu akan berasa lebih segar keesokan harinya. Dengan itu, kamu dapat melakukan apa-apa sahaja dengan lebih baik.”—Jared.

  •   Menilai jumlah masa yang digunakan untuk kegiatan sosial. Bible menasihati kita agar “bersikap sederhana dalam segala hal,” termasuk aktiviti yang kamu lakukan pada masa lapang.—1 Timotius 3:2, 11.

     “Saya perlu mengehadkan masa yang saya gunakan dalam aktiviti sosial pada sebelah malam. Jika saya tidak berbuat demikian, masa tidur saya pasti akan terjejas!”—Rebecca.

  •   Biarkan telefon bimbit kamu “berehat” juga! Lawanlah keinginan untuk melayari Internet atau menghantar SMS kepada kawan sekurang-kurangnya sejam sebelum masa tidur. Sesetengah pakar memberikan amaran bahawa cahaya telefon bimbit, televisyen, atau tablet dapat mengakibatkan kamu susah untuk tidur.

     “Orang fikir kamu dapat dihubungi pada bila-bila masa sahaja. Tetapi kamu harus berhenti menggunakan telefon jika kamu ingin mendapatkan rehat yang secukupnya.”—Julissa.