KAUM MUDA BERTANYA
Adakah Bermain Cinta Tidak Berbahaya?
Apakah itu bermain cinta?
Menurut sesetengah orang, bermain cinta bermaksud menunjukkan minat romantik terhadap orang yang berlawanan jantina melalui kata-kata atau tindakan. Jika kamu menyukai seseorang, adakah salah untuk menunjukkan minat romantik terhadapnya? Tidak semestinya. Seorang gadis yang bernama Ann berkata, “Kamu mungkin sudah bersedia untuk berdating. Jika kamu berminat terhadap seseorang, bagaimanakah kamu dapat mencari tahu bahawa dia juga suka kamu?”
Dalam rencana ini, kita akan membincangkan perbuatan seseorang yang menunjukkan minat romantik terhadap orang lain, tetapi sebenarnya tidak berniat ikhlas.
“Adalah tidak salah untuk memberikan perhatian yang istimewa terhadap seseorang kalau kamu ingin memulakan hubungan romantik dengannya. Tetapi jika kamu sekadar memainkan perasaannya, kamu akan melukai hatinya.”—Deanna.
Mengapakah sesetengah orang bermain cinta?
Sesetengah orang bermain cinta kerana ingin kelihatan hebat. Seorang gadis yang bernama Hailey berkata, “Apabila kamu sedar bahawa perbuatan kamu dapat menarik perhatian orang, kamu mungkin menginginkan lebih banyak perhatian.”
Bagaimana pula jika kamu menunjukkan minat romantik terhadap seseorang sedangkan kamu tidak ikhlas? Perbuatan itu menunjukkan bahawa kamu tidak kisah tentang perasaan orang itu. Orang lain akan mempersoalkan daya pertimbangan kamu. Bible berkata, “Orang bodoh sentiasa memikirkan kesenangan.”—Pengkhutbah 7:4.
Hailey menyatakan, “Bermain cinta mungkin kelihatan seronok. Tetapi hal ini boleh mengundang bahaya.”
Mengapakah bermain cinta berbahaya?
Bermain cinta merosakkan reputasi kamu.
“Saya berasa bahawa gadis yang bermain cinta tidak yakin pada diri sendiri dan tidak matang. Dia mungkin tidak jujur dan hanya menginginkan sesuatu daripada kamu.”—Jeremy.
Bible berkata, ‘Kasih tidak mementingkan diri sendiri.’—1 Korintus 13:4, 5.
Fikirkan: Adakah kata-kata atau tindakan kamu memberikan tanggapan bahawa kamu suka bermain cinta?
Bermain cinta akan melukai hati seseorang.
“Saya tidak mahu bergaul bersama orang yang suka bermain cinta. Dia bercakap dengan saya hanya kerana saya seorang gadis. Sebenarnya, orang yang bermain cinta tidak mengambil berat terhadap saya. Mereka hanya memikirkan perasaan sendiri.”—Jaqueline.
Bible berkata, “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.
Fikirkan: Pernahkah seseorang menaruh minat romantik terhadap kamu, tetapi kemudiannya kamu sedar bahawa dia tidak ikhlas? Jika ya, apakah perasaan kamu? Apakah yang dapat kamu lakukan agar tidak melukai perasaan orang lain dalam cara yang sama?
Bermain cinta menyebabkan kamu sukar memperoleh cinta sejati.
“Ramai orang tidak ingin berkahwin atau berdating dengan orang yang bermain cinta. Jika orang sebegini berminat terhadap saya, adakah saya dapat mempercayainya atau benar-benar mengenalinya?”—Olivia.
Dalam Bible, Daud berkata, “Aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.”—Mazmur 26:4.
Fikirkan: Siapakah yang berminat terhadap orang yang suka bermain cinta? Adakah kamu akan tertarik kepada orang seperti itu?