Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Pandangan yang Wajar terhadap Kerja dan Keluarga

Pandangan yang Wajar terhadap Kerja dan Keluarga

 Dunia teknologi kini membolehkan majikan, rakan kerja, atau klien mencari anda pada bila-bila masa. Hal ini mungkin mencabar bagi anda. Anda mungkin akan berasa susah untuk seimbangkan kerja dengan hal-hal lain yang penting dalam kehidupan, seperti perkahwinan anda.

 Apa yang harus anda tahu

  •   Anda mungkin terima panggilan, e-mel, atau mesej berkenaan kerja walaupun anda sudah pulang ke rumah. Ingatlah bahawa semua itu dapat mencuri masa yang patut anda luangkan bersama pasangan anda.

     “Memang susah untuk luangkan masa bersama keluarga. Bila terima e-mel atau panggilan tentang kerja, fokus kamu bukan lagi kepada pasangan, tapi kepada kerja.”—Jeanette.

  •   Untuk tetap seimbang antara kerja dengan pasangan hidup, anda perlu buat rancangan. Jika tidak, kemungkinan besar kerja akan mula menjejaskan perkahwinan anda.

     “Hal pertama yang biasanya diabaikan ialah pasangan kamu kerana kamu fikir, ‘Dia akan faham saya. Dia akan maafkan saya. Saya akan luangkan masa dengannya nanti.’”—Holly.

 Cara untuk memupuk pandangan yang wajar

  •   Utamakan perkahwinan anda. Bible menyatakan, ‘Apa yang telah disatukan oleh Tuhan janganlah manusia pisahkan.’ (Matius 19:6, Alkitab Versi Borneo) Sepertimana anda tidak akan biarkan orang lain memisahkan anda daripada pasangan anda, janganlah biarkan kerja menjadi tembok penghalang antara anda dengan pasangan.

     “Sesetengah klien rasa bahawa kamu patut layan mereka bila-bila masa sahaja sebab mereka sudah bayar kamu. Tapi saya sedar bahawa keutamaan saya ialah perkahwinan saya. Jadi saya akan beritahu mereka saya tidak bekerja pada hari rehat. Jika mereka hubungi saya pada masa itu, saya akan hubungi mereka secepat mungkin selepas saya kembali bekerja.”—Mark.

     Tanyalah diri, “Adakah tindakan saya menunjukkan bahawa perkahwinan saya lebih penting daripada kerja saya?”

  •   Katakan “tidak.” Bible menyatakan, “Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.” (Amsal 11:2) Kerendahan hati akan bantu anda sedar bahawa anda perlu tolak sesetengah kerja atau minta bantuan orang lain.

     “Saya seorang tukang paip. Sesetengah orang sangat perlukan bantuan saya terutama bila berlaku kecemasan. Jadi jika saya tidak dapat buat pada masa yang mereka inginkan, saya akan perkenalkan tukang paip lain yang dapat bantu mereka.”—Christopher.

     Tanyalah diri, “Jika sesetengah kerja tambahan akan buat pasangan saya rasa diabaikan, adakah saya rela tolak kerja itu? Adakah pasangan saya berasa bahawa saya sudi berbuat demikian deminya?”

  •   Buat rancangan untuk meluangkan masa bersama. Bible menyatakan, “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.” (Pengkhutbah 3:1) Anda perlu buat rancangan untuk meluangkan masa bersama pasangan anda, lebih-lebih lagi semasa anda sibuk. Pastikan anda berusaha ikut rancangan itu.

     “Jika kami sangat sibuk, kami akan tetap meluangkan masa bersama, walaupun hanya sekejap. Kami mungkin makan malam bersama atau bersiar-siar di pantai.”—Deborah.

     Tanyalah diri, “Adakah saya mengekhaskan masa untuk diluangkan bersama pasangan saya tanpa sebarang gangguan? Adakah pasangan saya berasa bahawa saya sudi berbuat demikian deminya?”

  •   Matikan alat elektronik. Bible menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Bolehkah anda matikan alat elektronik sekali-sekala supaya anda dapat berikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pasangan?

     “Saya berusaha untuk berhenti kerja selepas waktu bekerja, dan saya akan matikan notifikasi telefon saya.”—Jeremy.

     Tanyalah diri, “Adakah saya rasa saya perlu selalu hidupkan telefon kerana bos atau klien mungkin akan cari saya? Dalam soal ini, apakah pendapat pasangan saya?”

  •   Buat pengecualian. Bible menyatakan, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” (Filipi 4:5) Ada kalanya, sesetengah kerja tidak dapat dielakkan dan perlu disiapkan. Contohnya, pekerjaan pasangan anda mungkin menyebabkan dia perlu bersedia dipanggil pada bila-bila masa. Jadi, cubalah untuk bersikap munasabah terhadapnya.

     “Suami saya ada perniagaan kecil. Ada masanya, dia perlu kerja lebih masa untuk uruskan hal-hal penting. Kadang-kadang itu memang buat saya geram. Tapi saya tidak ambil hati, sebab dia juga luangkan banyak masa bersama saya.”—Beverly.

     Tanyalah diri, “Adakah saya memahami pasangan saya dengan tidak mengharapkan terlampau banyak perhatian daripadanya? Dalam soal ini, apakah pendapat pasangan saya?”

 Hal yang boleh dibincangkan

Mula-mula, cuba fikirkan soalan-soalan berikut secara berasingan. Kemudian, anda berdua boleh membincangkan jawapan anda.

  • Pernahkah pasangan anda mengadu kerana anda membawa pulang kerja anda ke rumah? Jika ya, adakah anda setuju bahawa hal itu tidak patut dilakukan?

  • Apakah perubahan spesifik yang perlu anda lakukan supaya lebih seimbang dalam kerja dan hal-hal lain?

  • Pernahkah anda rasa pasangan anda nampaknya terlalu utamakan kerja? Jika ya, cuba fikirkan bila hal itu berlaku?

  • Apakah mungkin perubahan yang anda inginkan daripada pasangan anda supaya dia lebih seimbang dalam kerja?