AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yohanes 16:33—“Aku Sudah Mengalahkan Dunia”
“Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku. Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.”—Yohanes 16:33, Terjemahan Dunia Baharu.
“Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”—Yohanes 16:33, Alkitab Berita Baik.
Maksud Yohanes 16:33
Melalui kata-kata ini, Yesus meyakinkan para pengikutnya bahawa mereka juga dapat menyenangkan hati Tuhan walaupun menghadapi cabaran dan tentangan.
“Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku.” a Kata-kata seterusnya di Yohanes 16:33 menunjukkan bahawa kedamaian ini tidak bermaksud bahawa seseorang tidak akan mempunyai masalah dalam hidupnya. Sebaliknya, hal ini merujuk kepada kedamaian hati dan minda. Kedamaian batin ini dapat diperoleh “melalui” Yesus, yang telah berjanji bahawa murid-muridnya akan menerima kuasa suci. “Penolong” ini akan membolehkan mereka mengatasi apa sahaja cabaran yang dihadapi mereka.—Yohanes 14:16, 26, 27.
“Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu!” Yesus secara terus terang mengatakan bahawa murid-muridnya akan menghadapi cabaran, seperti ketidakadilan dan penganiayaan. (Matius 24:9; 2 Timotius 3:12) Namun, mereka dapat ‘meneguhkan hati,’ atau ‘menabahkan hati’ mereka.—Yohanes 16:33, Alkitab Berita Baik.
“Aku sudah menakluki dunia.” Dalam ayat ini, perkataan “dunia” merujuk kepada masyarakat manusia yang tidak baik dan terasing daripada Tuhan. b 1 Yohanes 5:19 berkata, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat,” atau Syaitan. Maka, orang di “dunia” ini berfikir dan bertindak dalam cara yang bertentangan dengan kehendak Tuhan.—1 Yohanes 2:15-17.
Syaitan dan dunianya telah mencuba menghalang Yesus daripada melaksanakan kehendak Tuhan, seperti mengajar orang lain tentang Tuhan dan mengorbankan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan. (Matius 20:28; Lukas 4:13; Yohanes 18:37) Namun, Yesus tidak membiarkan dunia mempengaruhi pemikirannya dan membuatnya berpaling daripada Tuhan. Dia tetap setia sampai mati. Maka, Yesus dapat berkata bahawa dia telah menakluki dunia, dan bahawa “pemerintah dunia ini,” iaitu Syaitan, “tidak berkuasa” atas dirinya.—Yohanes 14:30.
Yesus menggunakan teladannya untuk menunjukkan kepada murid-muridnya bahawa mereka juga dapat tetap setia kepada Tuhan meskipun kesetiaan mereka diuji. Yesus seolah-olah berkata, “Jika saya boleh menakluki dunia, kamu pun boleh.”
Konteks Yohanes 16:33
Yesus mengucapkan kata-kata ini pada malam sebelum kematiannya. Kerana tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi, dia menggunakan peluang itu untuk mengongsi nasihat dengan para rasulnya yang setia. Dia menyebut tentang perkara penting yang perlu difikirkan mereka dengan mendalam: Mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi, mereka akan dianiaya, dan bahkan dibunuh. (Yohanes 15:20; 16:2, 10) Hal ini mungkin membuat mereka takut. Jadi, Yesus mengucapkan kata-kata terakhirnya di Yohanes 16:33 untuk menggalakkan dan meyakinkan mereka.
Teladan dan kata-kata Yesus juga dapat menggalakkan para pengikutnya pada hari ini. Semua orang Kristian dapat tetap setia kepada Tuhan meskipun menghadapi kesengsaraan.
a Ungkapan Yunani yang diterjemahkan sebagai “melalui aku,” juga boleh diterjemahkan sebagai “bersatu dengan aku.” Ungkapan ini membawa erti bahawa murid-murid Yesus dapat menikmati kedamaian jika mereka tetap bersatu dengannya.
b Perkataan “dunia” di Yohanes 15:19 dan 2 Petrus 2:5 juga membawa maksud yang sama.