Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yohanes 14:27​—“Kesejahteraan Aku Tinggalkan dengan Kamu”

Yohanes 14:27​—“Kesejahteraan Aku Tinggalkan dengan Kamu”

 “Aku meninggalkan kedamaian untuk kamu, aku memberi kamu kedamaianku. Kedamaian yang aku berikan kepada kamu tidak sama dengan kedamaian yang diberikan oleh dunia. Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut.”—Yohanes 14:27, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”—Yohanes 14:27, Alkitab Berita Baik.

Maksud Yohanes 14:27

 Melalui kata-kata ini, Yesus dengan pengasih meyakinkan para rasulnya bahawa mereka tidak perlu terlalu khuatir apabila mereka menghadapi masalah. Seperti dia, mereka boleh mengekalkan kedamaian batin dengan bantuan Tuhan.

 Apakah jenis kedamaian yang Yesus tinggalkan, atau berikan, kepada para rasulnya? Yesus memberi mereka kedamaiannya, iaitu kedamaian yang dirasai olehnya. Kedamaian ini bukan bermaksud tiada cabaran atau masalah. (Yohanes 15:20; 16:33) Meskipun Yesus dilayan dengan tidak adil dan akhirnya dihukum bunuh, dia masih memiliki kedamaian dalam hati dan mindanya. (Lukas 23:27, 28, 32-34; 1 Petrus 2:23) Dia berasa tenang dan tenteram kerana dia tahu bahawa dia dikasihi dan diperkenankan oleh Bapanya, Yehuwa. aMatius 3:16, 17.

 Yesus memberikan kedamaian kepada para rasulnya dengan meyakinkan mereka bahawa dia dan Bapanya mengasihi dan memperkenankan mereka. (Yohanes 14:23; 15:9, 10; Roma 5:1) Kedamaian ini, yang berdasarkan iman kepada Yesus sebagai Anak Tuhan, membantu mereka berasa tenang dan tenteram. (Yohanes 14:1) Meskipun Yesus tidak lagi bersama mereka secara fizikal, Yesus berjanji bahawa kuasa suci Tuhan akan membantu mereka mengukuhkan keyakinan dan memperoleh kedamaian batin. (Yohanes 14:25-27) Pengikut Yesus dapat menghadapi cabaran dengan berani, apabila mereka mengetahui bahawa mereka mendapat perkenan dan sokongan Yehuwa.—Ibrani 13:6.

 Sewaktu Yesus di bumi, adalah kebiasaan bagi orang untuk saling mengucapkan damai semasa memberikan salam. (Matius 10:12, 13) Namun, Yesus bukan saja mengucapkan damai kepada para rasulnya, dia juga memberikan mereka kedamaian. Selain itu, kedamaian yang Yesus berikan kepada mereka adalah berbeza daripada kedamaian yang diberikan oleh dunia. b Dunia dapat memberikan sesetengah kedamaian melalui persahabatan, kekayaan, kemasyhuran, atau kedudukan. Sebaliknya, kedamaian yang Yesus berikan tidak bergantung pada keadaan luaran. Kedamaian batin ini bertahan selama-lamanya.

Konteks Yohanes 14:27

 Yesus mengucapkan kata-kata ini kepada para rasulnya yang setia pada malam sebelum kematiannya. Pada malam itu, Yesus memberitahu mereka bahawa dia akan tinggalkan mereka tidak lama lagi. (Yohanes 13:33, 36) Hal ini menyebabkan para rasulnya berasa sedih. (Yohanes 16:6) Jadi Yesus meyakinkan mereka dan menggalakkan mereka agar tidak berasa sedih.

 Begitu juga, kata-kata Yesus ini dapat menggalakkan orang Kristian hari ini. Kita juga dapat memperoleh kedamaian. (2 Tesalonika 3:16) Apabila kita menjadi pengikut Yesus, kita belajar bahawa kita dikasihi dan diperkenankan oleh Yesus dan Bapanya, Yehuwa. (Kolose 3:15; 1 Yohanes 4:16) Hasilnya, kita tidak perlu terlalu khuatir. Mengapa? Sebab Tuhan berada di sisi kita.—Mazmur 118:6; Filipi 4:6, 7; 2 Petrus 1:2.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Yohanes.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?

b Dalam Bible, perkataan “dunia” boleh merujuk kepada masyarakat manusia yang tidak mengenal Tuhan.