Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Amsal 3:5, 6​—“Jangan Bergantung kepada Pengertianmu Sendiri”

Amsal 3:5, 6​—“Jangan Bergantung kepada Pengertianmu Sendiri”

 “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.”—Amsal 3:5, 6, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.”—Amsal 3:5, 6, Alkitab Berita Baik.

Maksud Amsal 3:5, 6

 Semasa membuat keputusan penting, kita harus mencari bimbingan daripada Tuhan Yehuwa a dan bukan bergantung pada diri sendiri.

 “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu.” Kita menunjukkan bahawa kita percaya kepada Tuhan apabila kita bertindak selaras dengan kehendak-Nya. Kita mesti percaya Tuhan dengan sepenuh hati. Dalam Bible, perkataan “hati” merujuk kepada batin kita yang merangkumi emosi, niat, fikiran, dan sikap kita. Oleh itu, percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hati bukan sekadar melibatkan perasaan. Kita memilih untuk bertindak selaras dengan kehendak Tuhan kerana kita yakin sepenuhnya bahawa Pencipta kita tahu apa yang terbaik bagi kita.—Roma 12:1.

 “Janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.” Kita harus percaya kepada Tuhan kerana kita tidak boleh bergantung pada fikiran kita yang tidak sempurna. Jika kita hanya mengikut keinginan dan perasaan sendiri, kita mungkin membuat pilihan yang nampaknya baik, tetapi kemudiannya membawa hasil yang buruk. (Amsal 14:12; Yeremia 17:9) Kebijaksanaan Tuhan jauh lebih unggul daripada kebijaksanaan kita. (Yesaya 55:8, 9) Kita akan berjaya apabila kita dibimbing oleh fikiran Tuhan.—Mazmur 1:1-3; Amsal 2:6-9; 16:20.

 “Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu.” Kita harus membenarkan pandangan Tuhan mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita dan setiap keputusan penting yang kita buat. Kita berbuat demikian dengan berdoa untuk meminta bimbingan-Nya dan dengan menuruti kata-kata-Nya dalam Bible.—Mazmur 25:4; 2 Timotius 3:16, 17.

 “Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” Tuhan meluruskan jalan hidup kita dengan membantu kita untuk hidup selaras dengan piawaian-Nya. (Amsal 11:5) Dengan itu, kita dapat mengelak daripada banyak masalah dan menikmati kehidupan yang lebih bahagia.—Mazmur 19:7, 8; Yesaya 48:17, 18.

Konteks Amsal 3:5, 6

 Buku Amsal mengandungi prinsip-prinsip asas untuk memperoleh kehidupan yang bahagia dan yang menyenangkan hati Tuhan. Sembilan bab pertama adalah seperti nasihat seorang ayah yang pengasih kepada anak kesayangannya. Bab 3 menekankan manfaat yang diperoleh bagi mereka yang menghargai dan menuruti kebijaksanaan Tuhan.—Amsal 3:13-26.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.