Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Mereka Memberikan yang Terbaik

Mereka Memberikan yang Terbaik

 Semasa Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945, banyak kawasan di negara Jerman telah musnah. Murid-murid tidak lagi dapat pergi ke sekolah, hospital tidak lagi boleh digunakan, dan terdapat bom di merata tempat. Selain itu, disebabkan kekurangan makanan, harga makanan juga meningkat. Contohnya, peniaga haram akan menjual 500 gram mentega pada harga yang sama nilai dengan gaji seseorang untuk kerja enam minggu!

 Keadaan ini juga telah menjejaskan ratusan Saksi-Saksi Yehuwa yang telah ditahan selama bertahun-tahun di penjara dan kem konsentrasi kerana iman mereka. Mereka telah dibebaskan pada tahun 1945. Namun mereka tidak mempunyai apa-apa pun kecuali baju penjara yang dipakai oleh mereka. Saksi-Saksi lain pula telah kehilangan hartanah dan barang-barang mereka. Ada yang pengsan akibat kelaparan semasa menghadiri perjumpaan Kristian.

Para Saksi di Negara Lain Segera Menghulurkan Bantuan

 Saksi-Saksi Yehuwa di negara lain segera menghulurkan bantuan dengan memberikan makanan dan pakaian. Para saudara di ibu pejabat sedunia Amerika Syarikat telah meminta pejabat cawangan di Bern, Switzerland, untuk membantu saudara saudari di Jerman. Nathan H. Knorr, seorang wakil dari ibu pejabat, telah pergi ke Eropah untuk mengaturkan kerja bantuan agar bantuan diberikan dengan cepat.

Pada tahun 1947, Nathan H. Knorr memberikan ceramah di Wiesbaden, Jerman. Di belakangnya ialah ayat tahunan dalam bahasa Jerman: “Hai Segala Bangsa, Pujilah Yehuwa”

 Para Saksi di Switzerland telah memberikan makanan, pakaian, dan wang dengan murah hati. Sumbangan itu dihantar ke Bern untuk dibungkus dan kemudiannya dihantar ke Jerman. Para Saksi di negara lain seperti Sweden, Kanada, dan Amerika Syarikat juga memberikan bantuan. Sumbangan mereka bukan sahaja membantu umat Yehuwa di Jerman, tetapi juga di banyak negara lain di Eropah dan Asia yang terjejas akibat peperangan.

Hasil yang Luar Biasa

 Dalam tempoh beberapa bulan, pejabat cawangan Switzerland menghantar kopi, susu, gula, bijirin, buah-buahan kering, sayur-sayuran, serta daging dan ikan dalam tin. Wang juga disumbangkan.

 Selain itu, para Saksi di Switzerland menghantar sebanyak lima tan pakaian, termasuk kot, pakaian wanita, dan sut untuk lelaki. Menara Pengawal 15 Januari 1946 menyatakan, “Saudara saudari memberikan yang terbaik. Mereka membuat pengorbanan yang besar untuk membantu saudara saudari mereka di Jerman.”

 Para Saksi di Switzerland juga menderma kira-kira 1,000 pasang kasut yang telah diperiksa untuk memastikan kasut itu dalam keadaan baik sebelum dihantar ke Jerman. Semasa saudara saudari di Wiesbaden, Jerman, membuka bungkusan mereka, mereka sangat terkejut melihat kualiti dan kepelbagaian barang-barang itu. Seorang Saksi menulis, “Kedai-kedai di Jerman pun tidak mempunyai pakaian dan kasut yang berkualiti seperti ini.”

 Sumbangan terus dihantar sehingga Ogos 1948. Secara keseluruhan, para Saksi di Switzerland telah menghantar sebanyak 444 kotak barang-barang bantuan yang beratnya 25 tan untuk saudara saudari di Jerman. Para Saksi di negara lain pun memberikan bantuan. Namun, para Saksi di Switzerland merupakan antara kumpulan terkecil yang terlibat. Pada masa itu, Switzerland hanya mempunyai 1,600 Saksi.

“Saling Mengasihi”

 Yesus Kristus menyatakan, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yohanes 13:34, 35) Umat Yehuwa tidak hanya berikan barangan yang tidak diperlukan oleh mereka. Sebaliknya, kasih telah mendorong mereka untuk memberikan yang terbaik. Menurut sepucuk surat dari Zurich, “Terdapat saudara saudari yang tidak mempunyai barang-barang untuk disumbangkan. Tetapi mereka masih ingin membantu. Jadi mereka memberikan wang.”

 Walaupun telah menghadapi penganiayaan dan peperangan, umat Yehuwa di Jerman dapat pulih dengan cepat. Hal ini adalah kerana kasih mendorong saudara saudari untuk memberikan bantuan kepada mereka secara teratur dan dengan murah hati.

Para Saksi di pejabat cawangan di Bern, Switzerland, sedang mengaturkan pakaian yang disumbangkan untuk rakan seiman di Jerman

Kotak-kotak yang berisi barang bantuan dimuatkan ke dalam lori di pejabat cawangan Bern

Sebuah lori penuh dengan kotak-kotak yang bertuliskan “Program Bantuan Saksi-Saksi Yehuwa”

Kotak-kotak yang berisi barang bantuan dimuatkan ke dalam kereta api untuk dihantar ke Jerman