Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Drama Simbolik” yang Bermanfaat untuk Kita

“Drama Simbolik” yang Bermanfaat untuk Kita

BETAPA susahnya memahami sesetengah ayat Bible jika bahagian Bible yang lain tidak memberikan penjelasan tentangnya. Kisah sejarah dalam Firman Tuhan mungkin hanya dianggap sebagai catatan tentang orang dan peristiwa. Namun, sesetengah kisah Bible ini mengandungi kebenaran Bible yang lebih mendalam yang maksudnya tidak begitu jelas. Satu contoh ialah kisah tentang dua wanita dalam rumah tangga Abraham. Rasul Paulus memanggil kisah ini sebagai “drama simbolik.”​—Galatia 4:24, nota kaki.

Kita patut memberikan perhatian kepada drama ini kerana erti yang dilambangkannya sangatlah penting bagi semua yang ingin mendapat berkat Yehuwa. Sebelum mengkaji sebabnya, mari kita bincang apa yang mendorong Paulus untuk menyingkapkan maksud drama ini.

Ada satu masalah timbul dalam kalangan orang Kristian abad pertama di Galatia. Sesetengah antara mereka “sangat teliti dalam hal merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu,” iaitu hal-hal yang diperintahkan dalam Hukum Musa. Mereka berkata adalah wajib untuk mematuhi Hukum Musa agar dapat diperkenankan Tuhan. (Galatia 4:10; 5:2, 3) Namun Paulus tahu bahawa amalan sebegitu tidak diwajibkan untuk orang Kristian. Untuk membuktikan hal ini, Paulus merujuk tentang kisah yang sangat diketahui oleh orang yang mempunyai latar belakang Yahudi.

Paulus mengingatkan orang Galatia bahawa Abraham, bapa kepada bangsa Yahudi, mempunyai dua anak, iaitu Ismael dan Ishak. Anak pertama dilahirkan oleh hamba perempuan, iaitu Hagar, dan yang kedua dilahirkan oleh wanita bebas, iaitu Sara. Orang di Galatia yang menggalakkan kepatuhan kepada Hukum Musa sudah pasti tahu tentang kisah Sara yang mandul dan dia memberikan hamba perempuannya Hagar kepada Abraham untuk melahirkan anak baginya. Mereka juga tahu bahawa selepas Ismael dilahirkan, Hagar mula menghina majikannya, Sara. Namun, seperti yang dijanjikan Tuhan, Sara akhirnya melahirkan Ishak semasa dia sudah tua. Kemudian, Abraham menyuruh Hagar dan Ismael pergi kerana Ismael melayan Ishak dengan buruk.​—Kejadian 16:1-4; 17:15-17; 21:1-14; Galatia 4:22, 23.

Dua Wanita, Dua Perjanjian

Paulus menjelaskan ciri-ciri “drama simbolik” ini. Dia berkata, “Wanita-wanita itu melambangkan dua perjanjian. Perjanjian daripada Gunung Sinai ialah Hagar, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai hamba. . . . Dia melambangkan Yerusalem sekarang ini, kerana dia sudah diperhamba bersama anak-anaknya.” (Galatia 4:24, 25) Hagar melambangkan orang Israel yang ibu kotanya ialah Yerusalem. Orang Yahudi terikat kepada Yehuwa melalui perjanjian Hukum Musa yang diasaskan di Gunung Sinai. Di bawah perjanjian Hukum Musa, orang Israel selalu diingatkan bahawa mereka ialah hamba kepada dosa dan perlu ditebus.​—Yeremia 31:31, 32; Roma 7:14-24.

Siapakah pula yang dilambangkan oleh “wanita bebas,” iaitu Sara, dan anak lelakinya Ishak? Paulus menyatakan bahawa Sara seorang “wanita mandul,” melambangkan isteri Tuhan, iaitu bahagian organisasi-Nya di syurga. Wanita di syurga ini mandul kerana sebelum Yesus menjadi manusia, wanita ini tidak ada “anak-anak” yang terurap di bumi. (Galatia 4:27; Yesaya 54:1-6) Namun pada Pentakosta 33 M, kuasa suci Tuhan telah dicurahkan ke atas sekumpulan lelaki dan wanita yang kemudiannya dilahirkan semula sebagai anak-anak kepada wanita di syurga ini. Anak-anak yang dihasilkan melalui organisasi ini telah menjadi anak angkat Tuhan dan pewaris bersama Yesus Kristus di bawah perjanjian baharu. (Roma 8:15-17) Rasul Paulus, yang merupakan salah seorang daripada anak-anak ini, menulis, “Yerusalem di syurga itu bebas, dan dia ialah ibu kita.”​—Galatia 4:26.

Anak-Anak kepada Wanita Itu

Menurut kisah Bible, Ismael menganiaya Ishak. Begitu juga, pada abad pertama Masihi, anak-anak kepada Yerusalem yang sudah diperhambakan menghina dan menganiaya anak-anak kepada Yerusalem di syurga. Paulus menjelaskan, “Sebagaimana anak yang dilahirkan dalam cara yang biasa [Ismael] mula menganiaya anak yang dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan [Ishak], hal yang sama juga berlaku sekarang.” (Galatia 4:29) Apabila Yesus datang ke bumi dan mula menyebarkan berita Kerajaan Tuhan, pemimpin agama Yahudi berkelakuan sama seperti apa yang dilakukan Ismael anak Hagar, terhadap pewaris sebenar Abraham, iaitu Ishak. Mereka menghina dan menganiaya Yesus Kristus. Perbuatan mereka jelas menunjukkan mereka menganggap diri sebagai pewaris Abraham yang sah dan Yesus sebagai perampas.

Tidak lama sebelum pemerintah bangsa Israel membunuh Yesus, Yesus berkata, “Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu. Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu. Lihatlah, rumah ini akan terbiar dan diserahkan kepada kamu!”​—Matius 23:37, 38.

Catatan yang diilhami Tuhan tentang peristiwa-peristiwa pada abad pertama menunjukkan bahawa bangsa Israel jasmani yang dilambangkan oleh Hagar tidak secara automatik menghasilkan anak-anak yang akan menjadi waris bersama Yesus. Orang Yahudi yang sombong berfikir bahawa mereka berhak menjadi pewaris sejak dilahirkan. Tetapi, mereka telah ditolak Yehuwa. Sudah tentu, ada sesetengah daripada orang Israel jasmani ini akhirnya menjadi pewaris bersama Yesus. Namun peluang istimewa itu diberikan kepada mereka kerana mereka beriman kepada Yesus dan bukannya kerana mereka ialah orang Yahudi.

Identiti sesetengah orang yang menjadi pewaris bersama Yesus menjadi jelas pada Pentakosta 33 M. Seraya masa berlalu, Yehuwa mengurapi orang lain sebagai anak-anak kepada Yerusalem di syurga.

Tujuan Paulus menjelaskan “drama simbolik” ini adalah untuk menunjukkan bahawa perjanjian baharu lebih unggul berbanding perjanjian Hukum Musa. Tiada sesiapa pun boleh mendapat perkenan Tuhan hanya dengan mematuhi Hukum Musa kerana semua orang tidak sempurna dan Hukum Musa hanya mengingatkan mereka bahawa mereka ialah hamba kepada dosa. Namun, seperti yang Paulus jelaskan, Yesus datang ke bumi untuk “membeli dan membebaskan orang yang hidup di bawah hukum.” (Galatia 4:4, 5) Maka, iman kepada nilai korban tebusan Yesus membawa pembebasan daripada dosa.​—Galatia 5:1-6.

Manfaat Drama Ini untuk Kita

Mengapakah kita patut berminat terhadap penjelasan Paulus tentang drama ini? Satu sebab adalah kerana tanpa penjelasan tersebut kita tidak akan memahami maksud sesetengah hal penting dalam Bible. Penjelasan tersebut menguatkan keyakinan kita terhadap kandungan Bible yang selaras dan saling berkaitan.​—1 Tesalonika 2:13.

Tambahan lagi, kebenaran yang dilambangkan oleh drama ini sangatlah penting untuk kebahagiaan masa depan kita. Jika “anak-anak” kepada Yerusalem di syurga tidak muncul seperti yang dijanjikan Tuhan, kita akan terus menjadi hamba kepada dosa dan kematian. Namun, di bawah pimpinan Kristus dan pewaris lain bagi janji Tuhan kepada Abraham, “semua bangsa di bumi akan meraih berkat.” (Kejadian 22:18) Hal ini akan terjadi apabila mereka dibebaskan sepenuhnya daripada kesan dosa, ketidaksempurnaan, kesedihan, dan kematian. (Yesaya 25:8, 9) Alangkah indahnya apabila saat itu tiba!

[Gambar]

Perjanjian Hukum Musa diasaskan di Gunung Sinai

[Sumber]

Pictorial Archive (Near Eastern History) Est.

[Gambar]

Apakah yang disingkapkan Paulus mengenai “drama simbolik” itu?