Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 119

Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan

Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan

YOHANES 14:1-31

  • YESUS PERGI UNTUK MENYEDIAKAN TEMPAT BAGI RASULNYA

  • DIA BERJANJI AKAN MEMBERI PENGIKUTNYA PENOLONG

  • BAPA LEBIH BESAR DARIPADA YESUS

Yesus masih berada di bilik tingkat atas bersama para rasul, dan dia menggalakkan mereka, “Janganlah susah hati. Berimanlah kepada Tuhan dan berimanlah juga kepada aku.”​—Yohanes 13:36; 14:1.

Yesus menyambung, ‘Ada banyak tempat kediaman di rumah Bapaku. Setelah aku pergi untuk menyediakan tempat bagi kamu, aku akan kembali dan membawa kamu ke rumahku.’ Yesus sedang memberitahu mereka bahawa dia akan pergi ke syurga, tetapi mereka tidak memahaminya. Tomas berkata, “Tuan, kami tidak tahu ke mana Tuan akan pergi. Jadi bagaimanakah kami mengetahui jalannya?”​—Yohanes 14:2-5.

“Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan,” jawab Yesus. Jika seseorang ingin pergi ke tempat kediaman Bapa di syurga, orang itu haruslah beriman kepada Yesus, menerima ajarannya, dan meniru teladannya. Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”​—Yohanes 14:6.

Filipus pun berkata, “Tuan, tunjukkanlah Bapa kepada kami. Itu sudah cukup bagi kami.” Nampaknya Filipus ingin mendapat penglihatan tentang Tuhan, seperti penglihatan yang diterima oleh Musa, Elia, dan Yesaya. Yesus berkata, “Sudah begitu lama aku bersama kamu semua. Tetapi Filipus, adakah kamu masih belum mengenal aku? Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Maka sesiapa yang melihat Yesus seolah-olah sudah melihat Bapanya. Kemudian untuk menunjukkan bahawa Bapa lebih besar daripada Anak, Yesus berkata, “Apa yang aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada diriku sendiri.” (Yohanes 14:8-10) Ya, Yesus memuji Bapanya kerana semua ajarannya berasal daripada Bapanya.

Para rasul nampak Yesus melakukan mukjizat dan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Sekarang dia memberitahu mereka, “Sesiapa yang beriman kepada aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Sebenarnya, dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi.” (Yohanes 14:12) Hal ini bererti bahawa mereka akan menjalankan kerja menginjil buat masa yang lebih lama, secara lebih meluas, dan mencapai lebih banyak orang.

Selepas Yesus pergi, mereka tidak akan bersendirian. Dia berkata, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.” Dia juga berkata, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Dia akan memberi kamu penolong lain yang akan menyertai kamu buat selama-lamanya, iaitu kuasa suci Tuhan yang menyingkapkan kebenaran.” (Yohanes 14:14, 16, 17) Ya, dia berjanji bahawa mereka akan menerima kuasa suci Tuhan, dan hal ini berlaku pada hari Perayaan Pentakosta.

Kemudian Yesus berkata, “Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat aku lagi. Tetapi kamu akan melihat aku kerana aku hidup dan kamu pun akan hidup.” (Yohanes 14:19) Yesus akan menampakkan dirinya kepada mereka selepas dia dibangkitkan. Pada kemudian hari, dia juga akan membangkitkan mereka ke syurga sebagai makhluk roh.

Yesus berkata, “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku, dan aku juga akan mengasihinya dan memperlihatkan diriku dengan jelas kepadanya.” Maka Yudas (yang juga dipanggil Tadius) bertanya, “Tuan, apakah yang telah berlaku sehingga Tuan mahu memperlihatkan diri dengan jelas kepada kami, dan bukannya kepada dunia?” Yesus menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi aku akan mematuhi ajaranku. Bapaku akan mengasihinya. Sesiapa yang tidak mengasihi aku tidak mematuhi ajaranku.’ (Yohanes 14:21-24) Tidak seperti pengikutnya, dunia ini tidak menerima Yesus sebagai jalan, kebenaran, dan kehidupan.

Yesus akan pergi, jadi bagaimanakah pengikutnya akan mengingat semua ajarannya? Dia berkata, “Penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan, yang akan diutus oleh Bapa atas namaku akan mengajar kamu segala-galanya, dan akan mengingatkan kamu segala perkara yang telah aku katakan kepada kamu.” Para rasul pasti berasa lega kerana mereka telah melihat betapa besarnya kuasa suci Tuhan. Yesus menambah, ‘Aku meninggalkan kedamaian untuk kamu, aku memberi kamu kedamaianku. Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut.’ (Yohanes 14:26, 27) Ya, pengikut Yesus tidak perlu risau kerana Yehuwa akan membimbing dan melindungi mereka.

Tidak lama lagi, mereka akan melihat bukti bahawa Tuhan melindungi umat-Nya. Yesus berkata, “Pemerintah dunia ini akan datang. Tetapi dia tidak berkuasa atas diriku.” (Yohanes 14:30) Si Iblis dapat memasuki Yudas dan mengawalnya, tetapi Yesus tidak mempunyai apa-apa kelemahan yang boleh diperalatkan oleh Si Iblis. Si Iblis juga tidak dapat menghalang pembangkitan Yesus. Mengapa? Yesus berkata, “Aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa.” Dia yakin bahawa Bapanya akan membangkitkannya.​—Yohanes 14:31.