BAB 5
Tidak Menjadi Sebahagian daripada Dunia
“Kamu bukan sebahagian daripada dunia.”—YOHANES 15:19.
1. Yesus risau tentang apa?
YESUS pernah memberitahu muridnya, “Kamu bukan sebahagian daripada dunia.” (Yohanes 15:19) Maka pada malam sebelum dia dibunuh, dia amat risau tentang masa depan mereka. Dia berdoa kepada Bapanya, “Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.” (Yohanes 17:15, 16) Apakah maksud kata-kata Yesus?
2. Apakah maksud perkataan “dunia” yang digunakan dalam Bible?
2 Perkataan “dunia” yang digunakan dalam Bible merujuk kepada umat manusia yang tidak mengenali Tuhan dan diperintah oleh Syaitan. (Yohanes 14:30; Efesus 2:2; Yakobus 4:4; 1 Yohanes 5:19) Apakah yang perlu kita lakukan agar kita tidak menjadi “sebahagian daripada dunia”? Dalam bab ini, kita akan membincangkan lima cara, iaitu (1) tetap setia kepada Kerajaan Tuhan dan tetap neutral dalam hal ehwal politik, (2) melawan kecenderungan mental dunia, (3) sederhana dalam pakaian dan dandanan, (4) mempunyai pandangan yang seimbang terhadap wang, dan (5) memakai perlengkapan senjata rohani.—Lihat Penjelasan 16.
TETAP SETIA KEPADA KERAJAAN TUHAN
3. Apakah pandangan Yesus tentang hal-hal politik?
3 Semasa di bumi, Yesus prihatin terhadap orang dan mahu membantu mereka. Tetapi adakah dia menjadi seorang ahli politik? Tidak. Dia tahu bahawa manusia memerlukan Kerajaan Tuhan. Yesus akan menjadi raja Kerajaan Tuhan dan dia selalu mengajar orang tentang kerajaan itu. (Daniel 7:13, 14; Lukas 4:43; 17:20, 21) Yesus tidak pernah terlibat dalam politik. Semasa dia menghadap Pilatus, dia berkata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yohanes 18:36) Murid-murid Yesus juga sentiasa neutral. Sebuah buku menyatakan bahawa orang Kristian masa awal “enggan memegang jawatan politik.” Kita juga mempunyai pendirian yang sama. Kita menyokong Kerajaan Tuhan dan neutral dalam hal ehwal politik.—Matius 24:14.
4. Bagaimanakah orang Kristian sejati menyokong Kerajaan Tuhan?
4 Seorang duta mewakili negaranya di negara asing, maka dia tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik negara itu. Orang Kristian yang terurap, iaitu mereka yang akan memerintah di syurga bersama Kristus, juga berada dalam situasi yang sama. Paulus menulis, “Kita menjadi duta yang berkhidmat bagi pihak Kristus.” (2 Korintus 5:20) Orang Kristian yang terurap ialah wakil Kerajaan Tuhan. Mereka tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik dunia ini. (Filipi 3:20) Sebaliknya, mereka membantu jutaan orang untuk belajar tentang Kerajaan Tuhan. “Biri-biri lain,” iaitu mereka yang mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di firdaus, menyokong orang Kristian terurap. Mereka juga tetap neutral. (Yohanes 10:16; Matius 25:31-40) Jelaslah bahawa orang Kristian sejati tidak akan melibatkan diri dalam hal-hal politik dunia ini.—Baca Yesaya 2:2-4.
5. Mengapakah kita tidak pergi berperang?
5 Yesus memerintahkan pengikutnya untuk saling mengasihi, dan kita menganggap rakan seiman sebagai ahli keluarga sendiri. Jika kita pergi berperang, kita perlu melawan rakan seiman. (Yohanes 13:34, 35; 1 Korintus 1:10; 1 Yohanes 3:10-12) Memandangkan kita bahkan disuruh untuk mengasihi musuh kita, wajarkah kita pergi berperang untuk melawan rakan seiman?—Matius 5:44; 26:52.
6. Apakah pandangan umat Yehuwa terhadap kerajaan manusia?
6 Walaupun kita tidak menyokong mana-mana kerajaan manusia, kita berusaha menjadi warganegara yang baik. Contohnya, kita mematuhi undang-undang dan membayar cukai. Tetapi kita sentiasa memberikan “milik Tuhan kepada Tuhan.” (Markus 12:17; Roma 13:1-7; 1 Korintus 6:19, 20) “Milik Tuhan” merangkumi ibadat, kepatuhan, dan kasih kepada Tuhan. Kita rela mati daripada melanggar hukum Yehuwa.—Lukas 4:8; 10:27; baca Kisah 5:29; Roma 14:8.
MELAWAN “KECENDERUNGAN MENTAL DUNIA”
7, 8. Apakah itu “kecenderungan mental dunia,” dan bagaimanakah kecenderungan ini mempengaruhi orang?
7 “Kecenderungan mental dunia” berasal daripada Syaitan dan menguasai orang yang tidak menyembah Yehuwa. Maka kita tidak mahu kecenderungan ini mempengaruhi fikiran dan perbuatan kita. Paulus berkata, “Kita tidak menerima kecenderungan mental dunia, tetapi kita menerima kuasa suci Tuhan.”—1 Korintus 2:12; Efesus 2:2, 3; lihat Penjelasan 17.
8 Kecenderungan mental dunia membuat orang mementingkan diri, sombong, dan suka memberontak. Syaitan mahu orang berfikir bahawa mereka tidak perlu mematuhi Tuhan dan boleh bertindak sesuka hati. Dia mahu orang percaya bahawa ‘keinginan tubuh yang berdosa dan keinginan mata’ ialah perkara terpenting dalam hidup. (1 Yohanes 2:16; 1 Timotius 6:9, 10) Sasaran utama Syaitan ialah umat Tuhan, dan dia mahu memperdaya kita agar kita mencerminkan pemikirannya.—Yohanes 8:44; Kisah 13:10; 1 Yohanes 3:8.
9. Bagaimanakah kecenderungan mental dunia ini dapat mempengaruhi kita?
9 Kecenderungan ini bagaikan udara di sekeliling kita. Jika kita tidak melawannya, kita akan dikuasainya secara beransur-ansur. (Baca Amsal 4:23.) Contohnya, kita mungkin dipengaruhi oleh sikap atau cara pemikiran orang yang tidak menyembah Yehuwa. (Amsal 13:20; 1 Korintus 15:33) Kita juga mungkin dipengaruhi oleh orang murtad, bahan lucah, atau sukan yang menggalakkan persaingan sengit.—Lihat Penjelasan 18.
10. Bagaimanakah kita dapat melawan kecenderungan mental dunia?
10 Bagaimanakah kita dapat melawan kecenderungan mental dunia? Kita perlu hidup akrab dengan Yehuwa dan dibimbing oleh kebijaksanaan-Nya. Kita mesti sentiasa berdoa untuk meminta kuasa suci Tuhan dan sentiasa berfokus kepada hal-hal rohani. Memandangkan Yehuwa ialah individu yang paling berkuasa di seluruh alam semesta, Dia pasti dapat membantu kita.—1 Yohanes 4:4.
PAKAIAN DAN DANDANAN YANG MEMULIAKAN TUHAN
11. Bagaimanakah kecenderungan mental dunia mempengaruhi pakaian dan dandanan orang?
11 Kita menunjukkan bahawa kita bukan sebahagian daripada dunia melalui pakaian dan dandanan kita. Banyak orang di dunia suka memakai pakaian yang menarik perhatian, membangkitkan nafsu orang, mencerminkan sikap suka memberontak, atau menunjuk-nunjuk kekayaan. Ada pula yang berpakaian selekeh atau kotor kerana mereka tidak mengambil peduli pandangan orang lain. Kita tidak mahu pakaian dan dandanan kita dipengaruhi oleh pandangan sebegini.
12, 13. Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membimbing kita semasa memilih pakaian?
12 Sebagai umat Tuhan, pakaian kita haruslah kemas, bersih, elok dipandang, dan sesuai mengikut keadaan. Kita mahu pakaian kita sentiasa “sederhana” dan mencerminkan “fikiran yang sihat,” iaitu pakaian yang sesuai dengan orang yang “mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.”—1 Timotius 2:9, 10; Yudas 21.
13 Cara pemakaian kita dapat mempengaruhi pandangan orang lain terhadap Yehuwa dan umat-Nya. Kita mahu cara pemakaian kita “memuliakan Tuhan.” (1 Korintus 10:31) Maka kita haruslah mengambil kira perasaan dan pendapat orang lain semasa memilih pakaian.—1 Korintus 4:9; 2 Korintus 6:3, 4; 7:1.
14. Bagaimanakah seharusnya cara kita berpakaian semasa menjalankan kegiatan Kristian?
14 Bagaimanakah seharusnya cara kita berpakaian semasa di perjumpaan atau semasa menginjil? Adakah pakaian kita menarik perhatian kepada diri sendiri, atau membuat orang lain berasa kurang selesa? Adakah kita rasa bahawa orang lain tidak berhak mempersoalkan cara pemakaian kita? (Filipi 4:5; 1 Petrus 5:6) Sudah tentu kita mahu kelihatan cantik, tetapi ingatlah bahawa batin yang cantik ialah perhiasan yang paling bernilai di mata Tuhan.—1 Petrus 3:3, 4.
15. Mengapakah Yehuwa tidak memberi kita senarai peraturan tentang pakaian dan dandanan kita?
15 Yehuwa tidak memberi kita senarai peraturan tentang pakaian dan dandanan kita. Sebaliknya, Dia memberi kita prinsip Bible yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak. (Ibrani 5:14) Dia mahu kita membuat keputusan yang didorong oleh kasih kepada-Nya dan kepada orang lain. (Baca Markus 12:30, 31.) Di serata dunia, umat Tuhan mempunyai gaya pemakaian yang menarik dan berwarna-warni.
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP WANG
16. Bagaimanakah pandangan dunia terhadap wang berbeza dengan ajaran Yesus? Apakah soalan-soalan yang harus kita fikirkan?
16 Syaitan mahu orang berfikir bahawa wang dan harta benda dapat membawa kebahagiaan sejati. Tetapi hal ini tidak benar kerana Yesus pernah berkata, “Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.” (Lukas ) Wang tidak dapat membawa kebahagiaan sejati, kawan sejati, ketenangan minda, atau kehidupan kekal. Sudah tentu kita memerlukan wang dan kita mahu menikmati hidup. Tetapi Yesus mengajar kita bahawa kita hanya dapat menikmati kebahagiaan sejati jika kita mengutamakan hal-hal rohani dan hubungan kita dengan Tuhan. ( 12:15Matius 5:3; 6:22) Maka tanyalah diri, “Adakah saya dipengaruhi pandangan dunia terhadap wang? Adakah saya sering bercakap dan berfikir tentang wang?”—Lukas 6:45; 21:34-36; 2 Yohanes 6.
17. Apakah manfaatnya jika kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap wang?
17 Jika kita mengutamakan Yehuwa dan menolak pandangan dunia terhadap wang, hidup kita akan menjadi lebih bermakna. (Matius 11:29, 30) Kita akan berpuas hati dan menikmati ketenangan minda dan jiwa. (Matius 6:31, 32; Roma 15:13) Kita tidak akan terlalu khuatir tentang hal-hal kebendaan. (Baca 1 Timotius 6:9, 10.) Kita akan menikmati kebahagiaan sejati kerana kita suka memberi. (Kisah 20:35) Kita juga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan orang kesayangan dan bahkan dapat tidur dengan lebih baik.—Pengkhutbah 5:12.
“SELURUH PERLENGKAPAN PERANG”
18. Apakah yang ingin dilakukan oleh Syaitan terhadap kita?
18 Syaitan mahu merosakkan hubungan kita dengan Tuhan. Maka kita harus berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk melawan pengaruhnya. (Efesus 6:12) Syaitan dan roh-roh jahatnya tidak mahu kita bahagia atau mendapat kehidupan kekal. (1 Petrus ) Mereka sangat kejam. Tetapi Yehuwa dapat membantu kita untuk mengalahkan mereka! 5:8
19. Apakah yang dinyatakan di Efesus 6:14-18 tentang “perlengkapan perang” seorang Kristian?
19 Pada zaman kuno, para askar memakai perlengkapan perang untuk melindungi diri semasa bertempur. Dalam cara yang sama, kita harus memakai “perlengkapan perang” rohani yang telah diberikan oleh Yehuwa. (Efesus 6:13) Efesus 6:14-18 menyatakan, ‘Hendaklah kamu mengikatkan kebenaran pada pinggang kamu seperti tali pinggang, dan mengenakan perisai dada, iaitu kelakuan yang benar. Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian menjadi seperti kasut bagi kaki kamu. Hendaklah kamu sentiasa menggunakan perisai besar iman, supaya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. Terimalah juga penyelamatan sebagai topi besi, dan firman Tuhan sebagai pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan. Dengan setiap bentuk doa dan rayuan, teruslah berdoa pada setiap kesempatan di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan.’
20. Apakah yang harus kita lakukan agar “perlengkapan perang” kita dapat melindungi kita?
20 Jika seorang askar tidak memakai seluruh perlengkapan perangnya, musuhnya akan menyerang bahagian badannya yang terdedah. Maka kita harus memakai seluruh perlengkapan perang pada setiap waktu dan memastikan bahawa perlengkapan perang kita berada dalam keadaan yang baik. Perjuangan kita tidak akan berhenti selagi Syaitan, roh-roh jahatnya, dan dunia ini, tidak dibinasakan. (Wahyu 12:17; 20:) Maka jika kita sedang bergelut untuk melawan keinginan yang berdosa atau kelemahan yang lain, kita tidak mahu berputus asa!— 1-31 Korintus 9:27.
21. Bagaimanakah kita dapat mengalahkan Syaitan?
21 Kita tidak dapat mengalahkan Syaitan tanpa bantuan Yehuwa. Maka kita harus berdoa kepada Yehuwa, mempelajari Firman-Nya, dan bergaul dengan saudara saudari kita. (Ibrani 10:24, 25) Dengan demikian, kita dapat mempertahankan kepercayaan kita dan tetap setia kepada Tuhan.
BERSEDIA MEMPERTAHANKAN KEPERCAYAAN KITA
22, 23. (a) Bagaimanakah kita dapat sentiasa bersedia untuk mempertahankan kepercayaan kita? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?
22 Kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa sangat berbeza daripada kepercayaan kebanyakan orang. (Yohanes 15:19) Maka kita harus sentiasa bersedia untuk mempertahankan kepercayaan kita. Tanyalah diri, “Adakah saya faham mengapa Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai pendirian tertentu? Adakah saya yakin terhadap Bible dan terhadap hamba yang setia dan bijaksana? Adakah saya bangga untuk menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa? (Mazmur 34:2; Matius 10:32, 33) Dapatkah saya menjelaskan kepercayaan saya kepada orang lain?”—Matius 24:45; Yohanes 17:17; baca 1 Petrus 3:15.
23 Syaitan menggunakan pelbagai cara untuk menjerat kita. Satu jerat yang digunakannya ialah hiburan. Maka bagaimanakah kita dapat memilih hiburan dengan bijak? Hal ini akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya.