Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

Selepas Hari Perkahwinan

Selepas Hari Perkahwinan

“Kasih itu abadi.”​—1 KORINTUS 13:8.

1, 2. Jika perkahwinan menghadapi masalah, adakah hal ini bererti bahawa perkahwinan itu gagal? Jelaskan.

 PERKAHWINAN ialah hadiah daripada Yehuwa yang dapat membuat seseorang gembira. Biarpun begitu, setiap perkahwinan akan menghadapi masalah.

2 Kita tidak patut hairan jika kita menghadapi masalah perkahwinan. Tetapi masalah-masalah itu tidak bererti bahawa perkahwinan kita gagal, kerana pasangan yang menghadapi masalah serius pun dapat memulihkan hubungan mereka dan menguatkan perkahwinan mereka. Bagaimana?

MENDEKATI TUHAN DAN TEMAN HIDUP ANDA

3, 4. Apakah yang mungkin berlaku dalam perkahwinan?

3 Perkahwinan menyatukan dua orang yang mempunyai cita rasa, fikiran, latar belakang, dan budaya yang berlainan. Maka mereka perlu berusaha untuk saling mengenali dan memahami.

4 Seraya masa berlalu, hubungan suami isteri mungkin akan menjadi dingin kerana mereka terlalu bertumpu kepada hal masing-masing. Jadi bagaimanakah mereka dapat memulihkan hubungan mereka?

Nasihat Bible amat penting untuk membina perkahwinan yang bahagia

5. (a) Apakah yang dapat membantu anda mendekati teman hidup anda? (b) Menurut Ibrani 13:4, bagaimanakah kita patut memandang perkahwinan?

5 Yehuwa mengajar suami isteri cara untuk mendekati-Nya dan mendekati satu sama lain. (Mazmur 25:4; Yesaya 48:17, 18) Dia berfirman, “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang.” (Ibrani 13:4) Ya, Yehuwa ingin kita memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang patut dihormati, dilindungi, dan dihargai.

KASIH KEPADA YEHUWA DAPAT MENGUATKAN PERKAHWINAN ANDA

6. Menurut Matius 19:4-6, apakah pandangan Yehuwa tentang perkahwinan?

6 Yehuwa mengasaskan perkahwinan yang pertama. Yesus berkata, ‘Dia yang menciptakan manusia pada mulanya menciptakan lelaki dan perempuan. Dia juga berfirman, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” Maka, mereka bukan lagi dua tetapi satu. Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.’ (Matius 19:4-6) Ya, sejak mula lagi, Yehuwa ingin perkahwinan manusia berkekalan dan bahagia.

7. Bagaimanakah suami dan isteri dapat menguatkan perkahwinan mereka?

7 Dewasa ini, suami isteri menghadapi begitu banyak tekanan sehingga mereka berputus asa dan berfikir bahawa perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lagi. Tetapi jika mereka memahami pandangan Yehuwa tentang perkahwinan, mereka dapat menguatkan perkahwinan mereka.​—1 Yohanes 5:3.

8, 9. (a) Bilakah kita patut mengikut nasihat Yehuwa tentang perkahwinan? (b) Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai perkahwinan kita?

8 Yehuwa selalu memberi kita nasihat yang bermanfaat. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Dia menasihati kita, “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang.” (Ibrani 13:4; Pengkhutbah 5:4) Maka tidak kira senang atau susah, kita harus berusaha untuk mengikut nasihat Yehuwa.​—1 Tesalonika 1:3; Ibrani 6:10.

9 Oleh sebab kita menghargai perkahwinan kita, kita tidak akan melakukan atau mengatakan sesuatu yang akan merosakkannya. Sebaliknya, kita ingin menguatkan ikatan perkahwinan kita. Bagaimanakah caranya?

JAGA KATA-KATA DAN TINDAKAN ANDA

10, 11. (a) Apakah masalah serius yang timbul dalam sesetengah perkahwinan? (b) Mengapakah kita perlu berhati-hati dengan cara kita bercakap dengan pasangan kita?

10 Kita tahu bahawa orang Kristian tidak akan memukul atau mencederakan pasangan mereka. Tetapi mereka mungkin menyakiti satu sama lain dengan kata-kata mereka. Seorang wanita berkata, “Suami saya selalu mengucapkan kata-kata yang tajam dan pedas. Memang kesannya tidak dapat dilihat secara fizikal tetapi hati saya terluka setiap kali dia meluahkan kata-kata seperti ‘Kamu tidak berguna!’ atau ‘Kamu menyusahkan saya sahaja.’” Seorang suami pula berkata bahawa isterinya selalu menghinanya. Katanya, “Saya tidak sanggup mengulangi kata-kata isteri saya. Itulah sebabnya saya tidak bercakap dengannya dan selalu pulang lewat dari kerja.” Ya, kata-kata yang tajam dan kasar dapat melukai hati pasangan anda.

11 Hati yang terluka mengambil masa yang lama untuk sembuh. Maka Yehuwa memang tidak ingin suami dan isteri menyakiti satu sama lain dengan kata-kata mereka. Tetapi anda mungkin melukai hati pasangan anda secara tidak sengaja. Anda mungkin berasa bahawa anda sedang melayannya dengan baik, tetapi apakah perasaannya? Jika cara anda bercakap melukai perasaannya, sudikah anda berubah?​—Galatia 5:15; baca Efesus 4:31.

12. Apakah yang dapat mempengaruhi hubungan anda dengan Yehuwa?

12 Cara anda bercakap dengan pasangan anda di rumah atau di tempat awam dapat mempengaruhi hubungan anda dengan Yehuwa. (Baca 1 Petrus 3:7.) Yakobus 1:26 mengingatkan kita, “Jika seseorang menganggap dirinya penyembah Tuhan tetapi tidak mengekang lidahnya dengan baik, dia menipu dirinya sendiri dan ibadatnya sia-sia sahaja.”

13. Bagaimanakah seseorang mungkin melukai perasaan pasangannya?

13 Orang yang berkahwin juga perlu peka terhadap perasaan pasangan mereka dalam hal yang lain. Misalnya, adakah anda meluangkan terlalu banyak masa dengan orang lain? Meskipun anda berbuat demikian atas sebab yang baik, seperti menginjil atau memberikan bantuan, adakah pasangan anda akan berasa diabaikan? Seorang saudari berkata, “Apabila suami saya meluangkan banyak masa dan memberikan banyak perhatian kepada saudari lain dalam sidang, saya rasa sakit hati. Saya berasa diabaikan.”

14. (a) Apakah kebenaran asas yang kita pelajari di Kejadian 2:24? (b) Apakah soalan yang patut ditanya?

14 Kita mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa kita dan saudara saudari di sidang. Tetapi selepas kita berkahwin, tanggungjawab utama kita adalah terhadap pasangan kita. Yehuwa berkata bahawa suami akan “berpaut erat pada isterinya.” (Kejadian 2:24, nota kaki) Kita patut mengutamakan perasaan pasangan kita. Maka tanyalah diri, “Adakah saya memberikan masa, perhatian, dan kasih sayang yang secukupnya kepada pasangan saya?”

15. Mengapakah orang Kristian yang sudah berkahwin tidak patut terlalu rapat dengan orang yang bukan suami atau isterinya?

15 Jika anda memberikan terlalu banyak perhatian kepada seseorang yang bukan suami atau isteri anda, hal ini dapat merosakkan perkahwinan anda. Anda mungkin terlalu rapat dengan orang itu sehingga jatuh cinta kepadanya. (Matius 5:28) Anda bahkan mungkin melakukan perbuatan yang akan mencemari perkahwinan anda.

“KATIL PERKAHWINAN HARUSLAH TIDAK TERCEMAR”

16. Apakah perintah Bible tentang perkahwinan?

16 Bible menyatakan, “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang, dan katil perkahwinan haruslah tidak tercemar, kerana Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dan orang yang berzina.” (Ibrani 13:4) “Katil perkahwinan” bererti hubungan seks antara suami dengan isteri. (Amsal 5:18) Bagaimanakah kita menghormati hubungan ini dan tidak mencemarinya?

17. (a) Apakah pandangan banyak orang tentang perbuatan zina? (b) Apakah pandangan orang Kristian tentang perbuatan zina?

17 Ada orang yang berasa bahawa tidak salah untuk berlaku curang terhadap pasangan mereka. Tetapi kita tidak patut terikut-ikut dengan sikap ini. Yehuwa membenci perbuatan seks yang tidak bermoral dan perbuatan zina kerana hal ini mencemari perkahwinan kita, menghina Yehuwa, melanggar hukum-Nya, dan merosakkan persahabatan kita dengan-Nya. (Baca Roma 12:9; Ibrani 10:31; 12:29) Ya, kita perlu menjauhi apa-apa yang dapat menggoda kita untuk berzina, termasuk tidak memandang orang lain dengan perasaan berahi.​—Ayub 31:1.

18. (a) Apakah persamaan antara perzinaan dengan penyembahan berhala? (b) Apakah pandangan Yehuwa tentang perzinaan?

18 Hukum Musa menyatakan bahawa perzinaan ialah dosa yang serius, sama seriusnya dengan penyembahan berhala. Orang yang berzina atau menyembah berhala akan dihukum mati. (Imamat 20:2, 10) Apakah persamaan antara perzinaan dengan penyembahan berhala? Seseorang yang menyembah berhala tidak setia kepada Yehuwa. Dalam cara yang sama, seseorang yang berzina tidak setia kepada pasangannya. (Keluaran 19:5, 6; Ulangan 5:9; baca Maleakhi 2:14.) Jelaslah bahawa di mata Yehuwa, perzinaan ialah dosa yang sangat serius.

19. Apakah yang dapat menguatkan azam kita agar tidak berzina?

19 Dewasa ini, Yehuwa tetap memandang perzinaan sebagai dosa yang sangat serius. Sebagaimana kita tidak akan menyembah berhala, kita juga tidak akan mengkhianati pasangan kita. (Mazmur 51:1, 4; Kolose 3:5) Jika kita berzina, kita bukan sahaja tidak menghormati perkahwinan kita, kita bahkan juga tidak menghormati Yehuwa.​—Lihat Penjelasan 26.

CARA MENGUATKAN PERKAHWINAN ANDA

20. Menurut Amsal 24:3, bagaimanakah kita dapat membina perkahwinan yang kuat?

20 Bible menyatakan, “Dengan kebijaksanaan, sebuah rumah diteguhkan, dengan pengertian, sebuah rumah dikukuhkan.” (Amsal 24:3) Perkahwinan seperti sebuah rumah. Ada rumah yang kosong dan sunyi, ada juga rumah yang selesa dan dihias dengan cantik. Orang yang bijaksana akan memastikan bahawa perkahwinannya kukuh dan bahagia, seperti sebuah rumah yang selesa dan dihias dengan cantik.

21. Bagaimanakah pengetahuan dapat menguatkan sebuah perkahwinan?

21 Bible juga menyatakan, “Dengan pengetahuan, bilik-biliknya akan dipenuhi dengan harta yang indah dan bernilai.” (Amsal 24:4) Pengetahuan Bible dapat membantu anda mengukuhkan perkahwinan anda. (Roma 12:2; Filipi 1:9) Bacalah Bible dan bahan bacaan Bible bersama pasangan anda, dan terapkannya dalam perkahwinan anda. Tunjukkan sikap bertimbang rasa, dan layanilah satu sama lain dengan baik, hormat, dan penuh kasih. Mintalah Yehuwa untuk membantu anda memupuk sifat-sifat baik yang dapat mengukuhkan perkahwinan anda dan yang membuat anda lebih senang dikasihi.​—Amsal 15:16, 17; 1 Petrus 1:7.

Bergantunglah pada bimbingan Yehuwa semasa penyembahan keluarga

22. Mengapakah kita patut menunjukkan kasih dan hormat yang mendalam kepada teman hidup kita?

22 Kita patut berusaha sedaya upaya untuk melayan teman hidup kita dengan penuh kasih dan hormat. Dengan demikian, barulah perkahwinan kita akan menjadi lebih kukuh, dan yang terpenting, kita dapat menggembirakan hati Yehuwa.​—Mazmur 147:11; Roma 12:10.